Skip to main content
EkonomiHomeViral

12 Ditahan Kerana Pakai Baju Bersih 4.0

By 30 Ogos 2015Tiada komen1 minit bacaan

 

MELAKA, 30 Ogos — Polis Melaka menahan seramai 12 orang di negeri ini kerana didapati memakai kemeja-T kuning bercetak perkataan Bersih 4 yang dilarang mengikut Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) (No 22) 2015.

Ketua Polis Melaka Datuk Chuah Ghee Lye berkata seramai sembilan orang telah ditahan ketika menyertai perhimpunan Bersih 4 yang dihadiri kira-kira 100 orang di Dataran Pahlawan, Bandar Hilir di sini pada pukul 10.30 malam Sabtu.

Beliau berkata tiga orang pula ditahan dalam sekatan jalan raya yang dilakukan pihak polis di negeri ini pada petang semalam.

“Semua yang ditahan telah dibawa ke balai polis berhampiran dan dilepaskan dengan jaminan polis setelah diambil keterangan mereka,” katanya pada Ahad.

Chuah berkata pihak polis akan meneruskan pemantauan terutamanya di kawasan tumpuan hari ini bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman orang ramai tidak terganggu.

Kementerian Dalam Negeri mengeluarkan arahan bertarikh 27 Ogos 2015 dan ditandatangani oleh Menterinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengharamkan baju Bersih 4 atau penerbitan berkaitan dengan perhimpunan haram itu.

Pengharaman itu mula berkuat kuasa pada Jumaat lepas.

Sementara itu, tinjauan Bernama pagi ini di beberapa kawasan tumpuan antaranya di Bandar Hilir di sini mendapati orang ramai dan pelancong asing memenuhi kawasan itu seperti kebiasaan sempena cuti hujung minggu.

— MStar

Tinggalkan komen anda