
Oleh Aimi Huwaina
KUALA LUMPUR, 30 OGOS (Malaysiaaktif) – Suasana perhimpunan Bersih 4.0 di Dataran Merdeka pada pagi Sabtu masih aman tanpa sebarang kekacauan. Para peserta bersih berkumpul di hadapan pentas utama Bersih 4 di Dataran Merdeka.
Perhimpunan kemudian diteruskan dengan ucapan pendek daripada wakil-wakil aktivis dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).
Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr. Hatta Ramli dalam ucapannya membangkitkan tentang mentaliti rakyat Malaysia yang masih berasaskan perkauman.
“Sentimen perkauman perlu dibuang… new era, no racism (era baharu, tiada perkauman)… sudah dua hari kita berhimpun, kalau kita boleh buat so well this time, we can do it anytime (kalau kita boleh buat dengan lancar kali ini, kita boleh buat bila-bila masa juga, ” beliau berkata.
Ketua Publisiti DAP, Ronnie Liu pula berkata, “In the history of the world, none of the greedy dictators will survive long (sepanjang sejarah dunia, tiada diktator yang dapat bertahan lama). Kalau Bersih 4 tak cukup, kita buat Bersih 5. Kita buat BERSIH Sampai Kerajaan BN digulingkan.”
Antara aktivis lain yang turut berucap termasuk wakil Undi Malaysia, Azira Aziz; Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen dan Sekretariat Bersih 2.0, Mandeep Singh.
Perhimpunan di Dataran Merdeka ditangguhkan pada pukul 12 tengah hari dan disambung semula pada pukul 2 petang.