Skip to main content
HomeViral

ASEAN Perlu Kaji Semula Objektif ARF Hadapi Cabaran Baharu

By 3 Ogos 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

KUALA LUMPUR, 3 Ogos  — Pemimpin ASEAN perlu meneliti semula objektif Forum Serantau ASEAN (ARF) untuk menjadikan ia lebih proaktif dalam menangani cabaran keselamatan baharu, demikian menurut seorang penganalisis.

Bekas Ketua Institut Pengajian ASEAN dan Hal Ehwal Global Universiti Teknologi MARA Datuk Dr Mohd Yusof Ahmad berkata, selepas 22 tahun memberi penekanan terhadap inisiatif membina keyakinan, sudah tiba masanya untuk forum berkenaan bergerak ke peringkat seterusnya bagi melaksanakan pembangunan diplomasi pencegahan.

Pada masa sama, ARF perlu meminta pesertanya untuk memenuhi janji dan melaksanakan tugas dalam menangani masalah itu, katanya kepada Bernama di sini, menjelang mesyuarat ARF ke-22 pada Khamis.

Beliau menjelaskan bahawa keperluan itu selaras dengan kemunculan cabaran baharu yang ditimbulkan ekoran ancaman keselamatan bukan tradisional seperti jenayah rentas sempadan, keganasan dan bencana yang memerlukan tindakan segera serta kerjasama daripada kerajaan pelbagai sektoral.

“Cabaran baharu yang muncul menambah kerumitan kepada senario. Oleh itu, ARF boleh berperanan lebih daripada sekadar menjadi ruang menggalakkan perbincangan pelbagai hala.

“Ia bukan sekadar ruang bagi pemimpin untuk mengetengahkan idea-idea baharu yang berdaya maju dan cadangan yang konkrit tetapi juga merupakan platform untuk menterjemahkannya kepada tindakan yang berkesan,” katanya.

Katanya, peranan China di rantau ini boleh mempengaruhi permainan kuasa di mana negara-negara anggota ASEAN perlu mengekori dengan berhati-hati agar tidak menjejaskan keamanan, kestabilan dan pembangunan di seluruh rantau ini.

“Dari satu segi, kita berhadapan dengan isu-isu sedia ada seperti pertikaian di Laut China Selatan dan berusaha untuk menyelesaikannya secara baik,”

“Sebaliknya, krisis baharu dan lebih kompleks muncul yang memerlukan pendekatan baharu,” kata bekas duta Malaysia ke Bangladesh itu.

ARF telah ditubuhkan pada 1994 sebagai venue pelbagai hala untuk memupuk dialog membina dan perundingan mengenai isu-isu politik dan keselamatan kepentingan bersama.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda