Skip to main content
HomeViral

“Selamat Maju Jaya” Kata Shabery Bila Serah Tugas KKMM

By 3 Ogos 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Dila Khamde

PUTRAJAYA, 3 Ogos 2015 (MalaysiaAktif) – “Selamat Maju Jaya” ucapan terakhir Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia di Majlis Serah Tugas pagi ini.

Beliau berpendapat pelantikan Datuk Seri Dr. Mohd Salleh Tun Said Keruak sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia adalah keputusan tepat berdasarkan keupayaan beliau yang lebih matang dalam pengendalian krisis dan politik.

Ia terbukti dengan kemampuan beliau memangku jawatan Ketua Menteri Sabah ke-9 dari 1994 hingga 1996.

Turut memberi kelebihan, pengalaman beliau sebagai Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) pada 2011.

Beliau berharap kebijaksanaan Dr. Mohd Salleh akan membantu Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) untuk terus menyumbang ke arah menepati wawasan negara lima tahun akan datang.

“Antara sumbangan KKMM menjadikan Malaysia sebuah ‘Digital Nation’ memerlukan segala prasarana  mencukupi supaya maju, terutama dalam bidang komunikasi, ” tambah Ahmad Shabery.

Beliau turut menyentuh mengenai komitmen penuh yang akan diberikan oleh Mohd Salleh kepada Pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia yang dijangkakan akan dibawa ke parlimen pada Oktober ini.

Shabery berkata, selain pembangunan industri, cabaran dalam media sosial adalah disebabkan oleh kelemahan media perdana.

Selaras itu beliau berkata usaha untuk membangunkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan diteruskan dan dibantu dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Multimedia Development Corporation (MDEC), Jabatan Penerangan Malaysia dan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA).

Terdahulu, pada Rabu Mohd Salleh bersama barisan menteri dan timbalan menteri baharu mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di Istana Negara.

Pada Rabu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dalam pengumuman senarai Kabinet yang baharu menamakan Mohd Salleh sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia menggantikan Ahmad Shabery yang bertukar portfolio ke pertanian dan industri asas tani.

Mohd Salleh, 58, berketurunan Bajau, merupakan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah dan kini Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, selain Pengerusi Badan Perhubungan Bumis Bersatu Sabah (USBO).

 

 

Tinggalkan komen anda