
Oleh Mohd Anuar Ibrahim & Saharudin Othman
KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Malaysiaaktif) – Sekurang-kurangnya 23 orang setakat ini ditahan polis di hadapan pusat membeli-belah Sogo sebentar tadi.
Menurut pemberita Malaysiaaktif yang berada di lokasi, tiada ucapan dibuat, tetapi polis bertindak menangkap mereka yang terbabit kerana perhimpunan dikatakan tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa.
Penunjuk perasan yang hampir semuanya berbaju putih diarah masuk ke trak tahanan polis sejurus ditangkap.
Keadaan kecoh yang berlaku di situ memaksa beberapa premis terpaksa ditutup bagi mengelakkan sebarang kemungkinan.
Kebanyakan daripada mereka yang mengambil bahagian terdiri daripada orang Melayu.
Terdahulu hari ini, Hishamuddin Rais merupakan aktivis keempat ditangkap bersabit perhimpunan #Tangkap Najib yang sedang berlangsung di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini.
Tangkapan ke atas Hishamuddin dibuat di Subang Jaya dan beliau dibawa ke Balai Polis Petaling Jaya untuk disoal.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, SAC Datuk Zainuddin Ahmad mengesahkan tangkapan itu dan menjelaskan ia berhubung kenyataan yang dibuat pada satu sidang media bersama kumpulan ‘Demi Malaysia’ mengenai rancangan mengadakan perhimpunan menggesa Najib meletakkan jawatan.
Hishamuddin disiasat di bawah Seksyen 124 Kanun Keseksaan kerana menggugat demokrasi berparlimen.
Tangkapan Hishamuddin menyusuli penangkapan aktivis pelajar, Adam Adli, Penyelaras Suaram Syukri Razab dan anggota sekretariat Bersih 2.0 Mandeep Singh pada Jumaat.