Skip to main content
EkonomiHomeViral

KPDNKK Sambut Baik Cadangan Tubuh “Low Yat 2”

By 18 Ogos 2015Tiada komen1 minit bacaan

 

Oleh: Faris Fuad

PUTRAJAYA, 18 Ogos (Malaysiaaktif) –Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyambut baik cadangan pembukaan “Low Yat 2” dengan menyifatkannya sebagai pendekatan yang positif

Penubuhan tempat tersebut juga akan memberi peluang kepada peniaga bumiputera untuk menjual barang elektronik dan telekomunikasi yang tulen.

Menterinya, Datuk Hamzah Zainuddin yang menyokong penuh cadangan tersebut berkata ia memberi faedah kepada semua pihak, terutama kepada pengguna dalam mendapatkan peralatan tulen.

“Untuk memulihkan imej Low Yat mungkin memakan masa, jadi kita wujudkan tempat baharu dengan imej baharu,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Bulanan KPDNKK

“Imej ‘Low Yat’ agak negatif kebelakangan ini kerana setiap kali pemeriksaan dijalankan di Plaza Low Yat, pasti ada barangan tiruan dikesan dan peniaga diambil tindakan.”

Beliau turut menekankan bahawa lokasi baru tersebut disediakan bagi memenuhi kehendak orang ramai

“Kawasan baharu ini bukan untuk kepentingan Bumiputera semata-mata, jangan namakannya sebagai Low Yat 2 dan sebagainya”

“Apa yang penting tempat baharu ini mempunyai imej baharu dan pengguna mempunyai keyakinan bahawa mereka tidak tertipu kerana tidak ada produk tiruan yang dijual di tempat itu,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri  Yaakob mencadangkan sebuah lokasi baru menjual alatan telekomunikasi khusus diwujudkan untuk peniaga Melayu dan Bumiputera atas platform Majlis Amanah Rakyat (Mara).

 

 

Tinggalkan komen anda