Skip to main content
GlobalHomeViral

Pelajar Tahun 5 Juara Kejohanan Junior Terbuka Hong Kong

By 19 Ogos 2015Tiada komen2 minit bacaan

   ALOR SETAR, 19 Ogos – Murid Sekolah Kebangsaan Jalan Pegawai di sini, mengharumkan nama negara setelah muncul juara Kejohanan Skuasy Junior Terbuka Hong Kong 2015, Ahad lepas.

Aira Azman, 11, merangkul kejuaraan kategori bawah 11 Tahun, selepas menumpaskan rakan senegara, K. Sehveetrra 11-2, 6-11, 11-8 dan 11-6 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Cornwall Street Squash and Table Tennis Centre.

Sebelum itu, anak bongsu daripada empat beradik itu, mudah menumpaskan pemain Hong Kong, Lam Po Ying 11-5, 11-4 dan 11-1 pada aksi separuh akhir, Sabtu lepas.

Ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) di sini, Rabu, Aira melahirkan rasa syukur selepas meraih gelaran antarabangsa itu, dan akan berusaha dengan lebih gigih untuk muncul juara pada Kejohanan Skuasy Junior Terbuka India pada September ini.

“Memang daripada awal, sasaran saya nak muncul juara dan Alhamdulillah, ia tercapai. Saya akan lebih fokus dalam latihan dan berusaha lebih gigih untuk mencipta kejayaan pada masa akan datang,” katanya.

Pelajar Tahun Lima itu berkata beliau mula menceburkan diri dalam sukan skuasy ketika berusia enam tahun, mengikuti jejak langkah kakaknya, Aifa, 14, yang kini belajar di Sekolah Menengah Sultanah Asma di sini, dan aktif dalam sukan berkenaan dengan memenangi beberapa kejohanan tempatan.

Menjadikan ratu skuasy negara, Datuk Nicol David sebagai idola, Aira berkata kejayaan di Hong Kong akan menjadi pembakar semangat baginya untuk terus mencipta kejayaan dalam sukan itu.

Sukan ini tidak ganggu pelajaran saya. Latihan dua jam sehari bermula 3.30 hingga 5.30 petang kecuali pada Sabtu, di Kompleks Sukan Mu’adzam Shah (Hijau Kuning) di sini, katanya.

Sementara itu ibu Aira, Anis Haniza Ahmad, 43, berkata mereka sekeluarga akan terus memberi sokongan kepada anaknya itu supaya dapat meraih lebih banyak gelaran pada kejohanan tempatan dan antarabangsa pada masa akan datang.

– BERNAMA

Tinggalkan komen anda