
Oleh Munzir Madhadzir
KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Malaysiaaktif) – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan Mohd Razlan Rafii dalam kenyataan balas beliau di Facebook mendesak Ketua Pemuda MCA Chong Sin Woon meletakkan jawatannya sebagai Timbalan Menteri Pendidikan.
Razlan membidas kenyataan Chong yang membenarkan ahli MCA menyertai Perhimpunan BERSIH 4. Chong juga berkata tiada halangan untuk mahasiswa menyertai BERSIH kerana peruntukan AUKU yang melarang mahasiswa bertindak demikian telah dihapuskan.
Razlan berkata seharusnya Chong memahami tugas dan peranannya sebagai timbalan menteri dengan tidak menggalakkan rakyat menyertai perhimpunan haram yang merupakan agenda parti pembangkang termasuklah DAP.
“Bersih 4 adalah agenda DAP dan Pembangkang, kalau nak seia sekata dengan mereka, jangan jadi gunting dalam lipatan,” kata beliau.
Razlan juga menegaskan Chong perlu lebih sensitif dan tidak bertindak melulu dalam mengeluarkan sebarang kenyataan.
Chong diangkat menjadi senator dan dilantik menjadi Timbalan Menteri Pendidikan. Beliau antara muka baru dari MCA dalam kabinet, selain Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Ong Ka Chuan yang dilantik Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II dalam rombakan kabinet yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak Julai lalu.
Sebelum rombakan tersebut itu terdapat 6 ahli MCA di dalam kabinet.