Skip to main content
EkonomiHomeViral

PKNS Lancar Projek 418 Unit Rumah Mampu Milik

By 14 Ogos 2015Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

Oleh Syed Fauzi Syd Mostapa

GOMBAK, 14 Ogos (Malaysiaaktif) – “Rumah PRIMA hari ini bukannya ‘Mampu Milik’ tapi sekadar ‘Mampu Tengok’ sahaja kerana harganya yang mencecah RM400 000,” begitu kata-kata Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali.

Beliau yang hadir di Majlis Pelancaran Rumah Selangorku Idaman PKNS Kampung Seri Temenggung pagi ini akur dengan beban yang terpaksa ditanggung oleh graduan baru bekerja, dan pasangan yang baru berkahwin yang menginginkan rumah untuk kelangsungan hidup.

Tambahnya, untuk mengatasi masalah ini sebanyak 418 unit pangsapuri berharga serendah RM165 000, seluas 850 kaki per segi dengan reka bentuk moden ditawarkan di Kampung Seri Temenggung. Setiap unit dilengkapi tiga buah bilik tidur dan dua bilik air.

 

IMG_0360

 

10 unit akan dikhaskan kepada orang kelainan upaya (OKU), sementara 29 keluarga yang telah meneroka kawasan tersebut diberikan harga istimewa serendah RM65 000.

Surau, dewan serba guna, bilik bacaan, bilik mesyuarat, tadika, taman permainan, dan gelanggang badminton turut disediakan untuk keselesaan penduduk.

Orang ramai yang berminat perlu mempunyai pendapatan bulanan isi rumah tidak lebih RM8000 sebulan, tidak memiliki kediaman lain di Selangor dan tujuan pembelian untuk mendiami bukan disewakan.

Projek di atas tanah rizab Melayu dengan keluasan 8.6 ekar ini akan mula dimajukan pada April 2016 dengan kos sebanyak RM100 juta. Projek ini akan siap sepenuhnya pada suku kedua 2019.

Lebih 1000 hadir dalam majlis yang berlangsung di Dewan Beringin, Kg. Sri Temenggong, Selayang.

 

Tinggalkan komen anda