
Oleh: Faris Fuad
KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Malaysiaaktif) – Program Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjelang 2025.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata program tersebut dijangkakan akan meningkat sebanyak lapan peratus berbanding bidang akademik sebanyak tiga peratus
“TVET bakal menjadi laluan utama bagi pelajar lepasan SPM kerana gaji yang ditawarkan di pasaran akan lebih lumayan, iaitu minimum RM2,500 sebulan selepas tamat pengajian” katanya ketika berucap di Majlis Konvokesyen Program ‘Internship’ (Latihan Industri) Kolej Komuniti-MMC Gamuda di Cheras hari ini.
Beliau turut menekankan bahawa sebanyak 30 juta penduduk menganggur di seluruh dunia mungkin memerlukan bidang alternatif.
“Kekosongan pekerjaan ini kebanyakannya melibatkan kemahiran dan banyak syarikat, seperti pembinaan dan kejuruteraan di negara ini sangat memerlukan tenaga pakar dalam bidang ini.
“Dengan lepasan TVET yang bakal dilahirkan, ia dijangka mampu mengisi kekosongan pekerjaan yang ditawarkan oleh kebanyakan syarikat di negara ini,” katanya.
Majlis Konvokesyen tersebut telah memilih 17 graduan yang terbaik dari Kolej Komuniti Sabak Bernam dan Kolej Komuniti Kuantan bagi sesi penerimaan sijil tamat latihan.
Sesi latihan itu dijalankan di Akademi Latihan Terowong MMC-Gamuda, Kota Kemuning, dan melibatkan subjek elektrikal dan mekanikal serta latihan praktikal di tapak pembinaan.