Skip to main content
HomeViral

Sehati Sejiwa Bukan Sekadar Ideologi

By 13 Ogos 2015Tiada komen3 minit bacaan

 

Oleh Syed Hisham Shah

PUTRAJAYA, 13 Ogos Malaysiaaktif) – Sambutan Hari Kebangsaan yang bakal berlangsung tahun ini pasti disambut dengan penuh meriah. Sambutan kali ini bertemakan Sehati Sejiwa.

Namun apakah masyarakat umum jelas dengan pengertian Sehati Sejiwa. Apa yang dimaksudkan dengan Sehati Sejiwa? Apa perkara-perkara yang boleh merosakkan hubungan Sehati Sejiwa ini? Dua orang tokoh ilmuwan tampil membincangkan isu ini.

Menurut Ketua Penolong Pengarah, Jabatan Agama Islam Pahang, Datuk Ustaz Badli Shah Alaudin , Sehati Sejiwa mampu diterjemahkan dalam perjuangan Baginda Rasulullah s.a.w. ketika berhijrah ke Kota Madinah. Pada waktu itu umat Islam di Madinah hanyalah 1/3 daripada penduduk majmuk. Namun Baginda mampu menzahirkan keharmonian penduduk Madinah berlandaskan empat prinsip utama.

“Keharmonian di Madinah terzahir dengan empat prinsip. Prinsip pertama adalah Ta’aruf (kenal mengenal). Apabila kita saling mengenal sesama kita maka secara tidak langsungnya kita mampu menzahirkan niat sebenar di hati, di samping luahan bibi. Prinsip kedua adalah Ta’awun (tolong-menolong). Apakah kita saling bantu membantu sesama kita, sekiranya benar, maka kita selangkah hampir dengan sehati sejiwa.”

“Prinsip ketiga merupakan Takaful (berkongsi rasa). Nabi s.a.w. pernah bersabda, tidak sempurna iman jika kau tidur dalam kekenyangan, sedang jiran tetangga menangis kerana kelaparan. Jelas Islam menganjurkan kita untuk saling berkongsi rasa. Prinsip yang terakhir adalah Tafahum (memahami). Sekiranya masyarakat saling tidak memahami, maka ia akan menjadikan sehati sejiwa ini jauh,”kata beliau lagi.

Di samping prinsip-prinsip yang merealisasikan sehati sejiwa, terdapat juga perkara-perkara yang boleh merosakkan hubungan sesama kita. Menurut penceramah bebas Ustaz Syed Mohd Norhisham Al-Idrus, terdapat tiga perkara yang boleh merosakkan hubungan. “Perkara pertama adalah ego. Ego penyakit yang menyebabkan iblis keluar dari syurga Allah. Antara ciri orang yang bersifat ego adalah apabila mereka berbicara, mereka selalu menggunakan perkataan aku atau saya.”

Beliau menambah lagi, “perkara kedua yang boleh merosakkan hubungan adalah hasad dengki. Dan perkara ketiga  berpunca daripada teknologi. Teknologi media sosial seperti Facebook, Twitter, dan sebagainya menjadi sebahagian daripada huru-hara dunia sekarang ini. Bagaimana kita menguruskan teknologi ini menjadi punca kejayaan menjalin hubungan yang muhibah.”

Persoalan pada kita adakah kehadiran teknologi ini boleh menyubur ataupun menguburkan impian Sehati Sejiwa. Sesungguhnya, gajet telah menjadi sebahagian daripada gaya hidup. Menurut kajian yang dijalankan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), lebih 33 juta telefon bimbit digunakan oleh rakyat di negara ini, melebihi populasi penduduk.

Paling mengejutkan, kajian itu mendapati 198,286 orang menggunakan lima unit telefon bimbit pada satu-satu masa, manakala 254,938 orang memiliki empat unit, 849,795 orang tiga unit manakala 6.77 juta orang mempunyai dua telefon bimbit dan selebihnya 20.25 juta, satu unit.

Ustaz Badli Shaha turut bersetuju dengan Ustaz Syed bahawa menguruskan sesuatu itu adalah lebih mustahak. “Menghalang adalah mustahil, namun menguruskan adalah lebih baik.”

Mereka ditemui dalam forum ‘Program Pengukuhan Integriti Perkhidmatan Awam ; Sehati Sejiwa’ di Dewan Serbaguna, Kompleks Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Putrajaya pagi tadi.

 

 

Tinggalkan komen anda