
Oleh: Faris Fuad
KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Malaysiaaktif) – Pengumuman Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Ali Hamsa membatalkan pertukaran dua pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke Jabatan Perdana Menteri pagi tadi disambut baik pihak SPRM.
Mereka berpendapat ia satu tindakan yang betul dan wajar.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Mustafar Ali berkata pihaknya akan terus menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan bebas dan telus sebagaimana termaktub dalam Akta SPRM 2009 dan Aspirasi SPRM.
“SPRM juga berterima kasih kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, serta semua pihak yang terlibat dalam hal ini.”
Sebelum ini, dua pegawai terbabit, Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Bahri Mohamad Zin, telah membantah tindakan polis menyerbu pejabat bahagian operasi khasnya, manakala Pengarah Komunikasi Strategik SPRM, Datuk Rohaizad Yaakob dikunjungi sekumpulan pemimpin politik pembangkang di ibu pejabat SPRM minggu lepas bagi menyatakan sokongan.