
Oleh : Pradeeb Kumar Velayutham
KUALA LUMPUR, 15 Ogos (MalaysiaAktif) – Faktor sikap pengguna jalan raya yang tidak mengendahkan undang-undang menjadi penyumbang utama kepada peningkatan kadar kemalangan maut sepanjang Ops Selamat 7/2015 pada musim raya baru-baru ini.
Ketua Trafik Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Mohd Fuad Abd Latif dalam satu sidang media di Bukit Aman semalam berkata, sepanjang tempoh Ops Selamat 7 yang diadakan selama 15 hari bermula 10 sehingga 24 Julai 2015 lepas, sebanyak 20,458 kes kemalangan dilaporkan.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 303 kes kemalangan yang mengakibatkan sejumlah 330 kematian dicatatkan dengan 200 kes daripadanya melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal.
Angka tersebut adalah yang terburuk dalam sejarah Ops Selamat sejak ia dimulakan pada 1994.
Manakala sebanyak 1,974 kes kemalangan jalan raya pula dicatatkan di seluruh negara pada tahun ini, iaitu dengan peningkatan sebanyak 10.7 peratus (%) berbanding tahun lalu.
Fuad turut menjelaskan bahawa kesalahan trafik seperti mengabaikan undang-undang, langkah-langkah keselamatan serta peraturan jalan raya menjadi punca tertinggi kepada jumlah kemalangan maut kali ini.