Skip to main content
HomeViral

Tindakan Ke Atas Anggota TLDM Sertai Bersih 4.0 – Abdul Aziz

By 24 Ogos 2015Tiada komen1 minit bacaan

 

KUALA LUMPUR, 24 Ogos — Tindakan tegas akan diambil kepada anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang menyertai perhimpunan Bersih 4.0 yang dirancang diadakan hujung bulan ini.

Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata perhimpunan berkenaan yang akan diadakan di sekitar kawasan awam boleh mengganggu ketenteraman, tambahan ia diadakan ketika hampir dengan sambutan Hari Kebangsaan.

“Saya ingin mengingatkan anggota TLDM jangan terlibat dengan perhimpunan itu kerana akan menyebabkan mereka (anggota TLDM) berhadapan dengan masalah besar,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Kenaikan Pangkat dan Penganugerahan Pangkat (Kehormat) Pasukan Simpanan Sukarela TLDM (PSSTLDM) di KD Sri Gombak hari ini.

Seramai tujuh pegawai TLDM termasuk seorang pegawai PSSTLDM dinaikkan pangkat.

Majlis itu turut menyaksikan penganugerahan Tauliah Kapten (Kehormat) PSSTLDM kepada Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan) HELP University, Prof Datuk Dr Zakaria Ahmad atas khidmat beliau sebagai penasihat akademik Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) sejak 2006.

Mengenai keselamatan perairan, Abdul Aziz berkata pihaknya antara lain telah meminta pengusaha kapal melaporkan sebarang masalah kecemasan secara terus kepada TLDM.

“Nombor telefon TLDM pun kita dah bagi…kita mahu dimaklumkan… Bila melibatkan soal keselamatan, ia adalah tanggungjawab kita (TLDM),” katanya.

Ditanya mengenai penyertaan anggota TLDM dalam kumpulan militan IS, Abdul Aziz berkata pemantauan berterusan dijalankan oleh satu pasukan petugas khas.

“Saya sebenarnya tidak teragak-agak menyerahkan anggota disyaki terlibat dalam kegiatan tak bertanggungjawab ini kepada pihak berkuasa,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda