Skip to main content
HomeViral

 ‘SehatiSejiwa’ Perkukuh Solidariti Nasional

By 25 Ogos 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Mohd Ayop Abd Razid

Tema sambutan Hari Kebangsaan 2015 ialah ‘#Sehatisejiwa’ . Tema ini dipilih bagi melambangkan semangat kesepaduan yang dimiliki oleh seluruh rakyat negara ini tidak kira di mana jua mereka berada. ‘Sehati sejiwa’ boleh diertikan sebagai satu ikatan hubungan dan kebersamaan rakyat yang hidup secara harmoni dan bersatu padu di negara yang berdaulat dan merdeka ini. Ia mencerminkan roh kesepaduan, kesefahaman, kekitaan dan kemanusiaan seluruh rakyat Malaysia dari Perlis hingga ke Sabah dan Sarawak.

Dalam konteks kenegaraan,  perasaan dan semangat ‘sehati sejiwa’ ini penting kerana ia berupaya mewujudkan kestabilan nasional dan kesejahteraan hidup bermasyarakat. ‘Sehati sejiwa’ mampu mencetuskan nilai penerimaan dalam kalangan rakyat tanpa mengira kaum, budaya dan amalan agama. Ia dapat mewujudkan kehidupan yang serasi, selaras dan seimbang dalam  pergaulan antara kaum.

Maknanya, perasaan dan semangat sehati sejiwa dapat membantu memperkukuh proses perpaduan nasional serta mendorong terjadinya hubungan yang saling menguntungkan, sekali gus dapat   mencegah berlakunya perbalahan antara  etnik.

Hubungan kaum akan menjadi lebih akrab di mana perbezaan atau keberagaman tidak lagi menjadi punca masalah.  Malah, keberagaman yang ada berupaya menjadi modal kekuatan bagi bangsa Malaysia untuk menjadi bangsa yang memiliki solidariti yang kuat.

Hakikatnya, semangat sehati sejiwa mampu memperkukuh proses perpaduan dan integrasi nasional. Syarat integrasi menuntut  anggota masyarakat saling bertoleransi, bersefahaman dan bersepakat untuk bersama-sama berpegang kepada norma-norma dan nilai-nilai kenegaraan yang dapat membentuk sebuah bangsa yang bersatu padu dan berkeperibadian.

Keperibadian dan pandangan hidup kebangsaan yang sama berasaskan  Rukun Negara  akan membentuk jiwa dan semangat solidariti dan toleransi yang kuat serta mewujudkan rasa patriotisme dan nasionalisme yang tinggi terhadap negara ini.

Malah, perasaan sehati sejiwa yang memiliki elemen patriotisme ini dapat dizahirkan dalam situasi negara berhadapan dengan sebarang bencana seperti yang pernah ditunjukkan oleh rakyat pelbagai kaum dalam tragedi kehilangan pesawat MH370, tragedi MH17, banjir besar yang melanda kawasan pantai Timur dan tragedi gempa bumi yang berlaku di Sabah.

Kesimpulan, kefahaman dan penghayatan terhadap tema Hari Kebangsaan 2015 – ‘Malaysia #‘Sehatisejiwa’ – mampu meningkatkan komitmen seluruh rakyat untuk bersatu dan mempertahankan negara ini dari sebarang ancaman. Ia juga sebagai pendorong kepada meneruskan agenda pembangunan negara, terutamanya dalam melonjakkan daya usaha bagi mencapai negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

 

Tinggalkan komen anda