Skip to main content
HomeViral

Umno Semporna Batal Jemput Najib Rasmi Mesyuarat

By 4 Ogos 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

PETALING JAYA, 4 Ogos — Umno Bahagian Semporna di Sabah membatalkan jemputan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak untuk merasmikan mesyuaratnya pada 15 Ogos ini.

Keputusan itu dibuat atas desakan ahli di peringkat akar umbi pada hari sama ketuanya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal digugurkan sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Selasa lalu.

Susulan itu, wujud desas desus pihak Umno bahagian itu sedang mempertimbangkan beberapa pemimpin parti untuk merasmikan sidang mesyuarat itu, sama ada Tan Sri Muhyiddin Yassin atau bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sumber dalaman Umno bahagian itu memberitahu mStar Online, ahli Umno di bahagian itu kecewa dengan pengumuman Perdana Menteri mengetepikan pemimpin pertama Sabah yang menyandang jawatan Naib Presiden parti itu.

“Bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak dapat dikawal atau mungkin berlaku insiden yang boleh menjatuhkan air muka Perdana Menteri, Umno Bahagian Semporna memutuskan untuk membatalkan jemputan itu,” katanya ketika dihubungi, Selasa.

Menurut sumber itu lagi, ahli parti di bahagian itu masih tidak dapat menerima keputusan kepimpinan tertinggi negara menggugurkan pemimpin Semporna yang banyak menyumbang bakti kepada penduduk negeri dan negara ini.

“Selepas seminggu, masih ramai yang perlu ditenangkan bagi memastikan mereka kekal setia kepada Umno.

“Kita tidak mahu Umno berpecah, ia tidak memberi manfaat kepada parti,” katanya.

Minggu lalu, Najib mengumumkan rombakan Kabinet apabila menggugurkan Muhyiddin yang juga timbalannya merangkap Timbalan Presiden Umno sertai Shafie daripada barisan jemaah menteri.

Susulan itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Naib Presiden Umno dilantik menggantikan Muhyiddin.

Sementara itu, pegawai kepada Shafie berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira perkembangan semasa, termasuk sentimen rakyat akar umbi dan memikirkan soal keselamatan Perdana Menteri.

“Umno Bahagian Semporna berpandangan kehadiran beliau (Perdana Menteri) tidak lagi sesuai selaras senario semasa.

“Kepimpinan Umno bahagian sudah membuat persiapan lengkap menunggu kehadiran Presiden, namun ia perlu disesuaikan semula kerana tidak mahu ada nanti provokasi dari pihak luar yang akan mengambil kesempatan daripada isu semasa,” katanya.

Mengenai desas desus Najib akan digantikan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad atau yang lain, katanya, setakat ini ia sekadar khabar angin.

“Kita tidak boleh menyekat mana-mana individu atau pemimpin lain untuk datang atas kesudian mereka untuk mungkin memberi sokongan moral kepada Datuk Seri Shafie Apdal,” katanya.

Tinggalkan komen anda