
Proses penyediaan Bajet 2016 sedang berjalan dengan baik, bermula dengan Majlis Konsultasi Bajet 2016 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, YAB Datuk Seri Najib Tun Razak pada 15 Jun 2015. Satu siri mesyuarat kumpulan fokus (“focus group”) telah diadakan pada bulan Ogos, di mana mesyuarat pertama daripada siri ini telah diadakan pada 4 Ogos 2015 bertajuk “Meningkatkan Keterangkuman untuk Kesejahteraan Rakyat” (“Enhancing Inclusiveness for Well-Being of the Rakyat”), dengan penekanan kepada meningkatkan pendapatan isi rumah B40 ke arah masyarakat berpendapatan sederhana. (Senarai mesyuarat kumpulan fokus adalah seperti di lampiran).
MESYUARAT KUMPULAN FOKUS
Kumpulan fokus adalah sebahagian daripada beberapa siri perbincangan mengenai isu-isu yang dibangkitkan dalam memorandum yang dikemukakan oleh kumpulan industri, badan profesional, penyelidik, ahli akademik dan NGO.
Pelbagai pihak berkepentingan telah terlibat dalam mesyuarat kumpulan fokus untuk memastikan keterangkuman dalam proses penyediaan Bajet. Mesyuarat kumpulan fokus menyentuh isu-isu yang pelbagai seperti “Meningkatkan Keselamatan Awam dan Keselamatan”, “Mempercepatkan Pertumbuhan Sektor Perkhidmatan”, “Meningkatkan Pengeluaran Agro-makanan”, “Mengukuhkan Prestasi Eksport”, “Meningkatkan Produktiviti Buruh” dan “Menggalakkan Pembangunan Kualiti di Sarawak dan Sabah”.
Beberapa cadangan yang menarik telah dikemukakan semasa perbincangan tersebut. Ketika ini, Kementerian Kewangan sedang mengkaji isu-isu yang dibangkitkan dan cadangan yang dibuat semasa mesyuarat kumpulan fokus secara kritikal untuk memastikan bahawa langkah-langkah yang dipertimbangkan dalam Bajet 2016 dapat dilaksanakan.
TERAS STRATEGI BAJET 2016
Pada dasarnya, Rancangan Malaysia Ke-11 akan dijadikan teras dalam merangka strategi-strategi Bajet 2016. Ia akan menggariskan inisiatif dan langkah-langkah bagi menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan, meskipun berhadapan cabaran ketidaktentuan ekonomi global terutamanya harga minyak yang telah turun secara mendadak dan pertumbuhan perlahan ekonomi negara-negara rakan dagang Malaysia. Kerajaan akan memastikan kedudukan ekonomi, perbankan dan pasaran modal terus kukuh. Ke arah ini, langkah sewajarnya akan digubal bagi menentukan sentimen dan keyakinan pelabur dapat dipertingkatkan. Di samping itu, inisiatif strategik lain meliputi peningkatan eksport, merancak sektor pelancongan dan teknologi hijau serta memperkasa keusahawanan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
Bajet 2016 juga memberi penekanan kepada peningkatan kesejahteraan rakyat terutamanya kebajikan golongan berpendapatan rendah dan mudah terjejas dalam menangani kos sara hidup. Justeru, Kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada penambahbaikan taraf dan kualiti hidup rakyat termasuk di Sabah dan Sarawak melalui usaha meningkatkan pendapatan isi rumah B40, memperluas penyediaan infrastruktur asas luar bandar, meningkatkan jaringan perhubungan antara luar bandar dan bandar.
Selain itu, Bajet 2016 akan memberi tumpuan kepada penyediaan rumah mampu milik yang mencukupi dan berkualiti. Ini bagi membolehkan lebih ramai rakyat dapat mencapai impian untuk memiliki rumah sendiri. Usaha membina rumah mampu milik akan terus diperkukuh melalui inisiatif dan polisi baharu yang akan diumumkan kelak.
Di samping Majlis Konsultasi Bajet dan mesyuarat kumpulan fokus, Kerajaan meneliti setiap memorandum dan kertas cadangan yang diterima serta mengadakan konsultasi khas bersama agensi terpilih. Kerajaan juga menggunakan media elektronik dan sosial sebagai platform bagi memudahkan rakyat mengemukakan cadangan secara terus kepada Kerajaan melalui emel di alamat [email protected], laman facebook dan twitter Kementerian Kewangan Malaysia serta laman mikro https://najibrazak.com/bajet2016.
Kementerian Kewangan mengalu-alukan cadangan dan maklum balas semua lapisan masyarakat sebagai input bagi penggubalan Bajet 2016 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 23 Oktober 2015.
Kementerian Kewangan Malaysia
11 September 2015