Skip to main content
EkonomiHomeViral

Dengar Isi Hati Rakyat Jaminan Kerajaan Kepada Sabah, Sarawak

By 17 September 2015Tiada komen2 minit bacaan

KOTA KINABALU 16 Sept – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Kerajaan Persekutuan yang ditadbir Barisan Nasional (BN) ketika ini akan terus memberi jaminan untuk sentiasa mendengar isi hati rakyat Sabah termasuk Sarawak.

Menurut Perdana Menteri, jaminan serta komitmen itu berdasarkan kepada kerjasama baik serta semangat saling mempercayai yang wujud antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

“Inilah kunci kejayaan kita selama ini. Kita mahu rakyat mempertahankan hubungan yang akrab ini untuk memastikan Sabah (dan Sarawak) lebih maju di bawah kepemimpinan sedia ada.

“Kita (kerajaan) mesti mendengar isi hati rakyat Sabah, kita mesti dengar. Rakyat kedua-dua negeri ini memainkan peranan besar dalam pembangunan negara. Kalau mereka mahu sesuatu projek itu dilaksanakan, kita mesti dengar. Sebab itu kita memberi kuasa lebih kepada kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat sempena sambutan Hari Malaysia 2015 di Padang Merdeka di sini malam ini.

Yang turut hadir isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman; Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Datuk Mohamad Asfia Awang Nassar dan barisan Kabinet Persekutuan serta negeri.

Sambutan itu diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni.

Lebih 15,000 orang membanjiri Padang Merdeka bagi memeriahkan sambutan Hari Malaysia yang kembali diadakan di negeri ini selepas Miri, Sarawak tahun lalu.

Terdahulu, Najib mengiringi Juhar memotong kek Hari Malaysia 2015 di pentas utama selain menyaksikan pelbagai persembahan sempena sambutan berkenaan.

Beliau turut menandatangani Buku Catatan Hari Malaysia bersama-sama Musa dan kenamaan lain.

Najib berkata, kuasa-kuasa yang diturunkan itu bukan sahaja melibatkan aspek pembangunan pendidikan tetapi mengandungi usaha-usaha lain.

“Kalau orang Semenanjung impikan negara yang aman harmoni, pekerjaan yang terjamin, kemudahan-kemudahan asas, pendapatan yang tinggi, kualiti hidup lebih baik, rakyat Sabah juga mempunyai impian sama.

“Selama ini orang Sabah, Sarawak cuma melihat Lebuh Raya Utara Selatan di Semenanjung. Untuk itu kita akan menjayakan Lebuh Raya Pan Borneo, dari hujung Sarawak sehingga ke Sabah. Kita tidak boleh membenarkan jurang pembangunan ini wujud,” tegas­nya.

 

– Utusan

Tinggalkan komen anda