Skip to main content
HomeViral

Hishammuddin Selar Dakwa Pecat Timb Presiden, Naib Presiden

By 4 September 2015Tiada komen1 minit bacaan

Oleh: Faris Fuad

BATU PAHAT, 4 Sept (Malaysiaaktif) – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyelar dakwaan bahawa Majlis Tertinggi (MT) UMNO akan memecat Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden,  Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau menggesa pihak terbabit supaya menghentikan khabar angin kononnya ia akan berlaku pada persidangan bulan ini.

“Ini khabar angin, kalau tidak,saya sebagai naib presiden akan tahu jika ia agenda tetap” tegas beliau selepas menghadiri majlis bersama kepimpinan negara pada Minggu Haluan Siswa Pelajar Baharu di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia di Batu Pahat semalam.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan tidak pasti sama ada kedudukan kedua-dua pemimpin tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat itu.

“Tidak semestinya perkara ini berbangkit pun. Ini yang dihebohkan di media sosial dan sebagainya. Macam mana mereka (media sosial) tahu apa dibincangkan dalam MT. Saya sebagai ahli MT pun tidak tahu.

“Tidak mungkin kita hendak layan khabar angin macam ini, mungkin tidak berlaku pun” katanya.

Beliau turut menegaskan terdapat lebih banyak isu penting untuk diketengahkan, terutama berkaitan pembangunan rakyat dan negara.

“Saya hendak wujudkan satu kesedaran bahawa kita tiada masa untuk berpecah kerana agenda lebih besar adalah ekonomi negara. Kita hendak melihat kestabilan, keselamatan dan pertahanan negara.”

 

Tinggalkan komen anda