Skip to main content
HomeViral

Jamal: Kekecohan Bukit Bintang Dicetuskan Pembangkang

By 16 September 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

KUALA LUMPUR, 16 Ogos– Pengerusi Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu Malaysia, Datuk Jamal Md Yunos mendakwa insiden kekecohan yang berlaku di Jalan Petaling dan Bukit Bintang dicetuskan pihak pembangkang.

“Ini semua kerja pembangkang. Orang-orang Umno dan NGO-NGO yang pro kepada Umno tidak akan melakukan perkara sebegini,” katanya kepada pemberita selepas himpunan ‘baju merah’ di Padang Merbok di sini, Rabu.

Beliau yang sudah menjangkakan insiden seumpama itu akan berlaku pada perhimpunan itu telah memaklumkan perkara tersebut lebih awal kepada polis.

“Saya percaya pihak polis dapat tangani perkara ini secara baik dan menjadikannya sebagai iktibar kepada mereka yang lain supaya jangan melanggar undang-undang.

“Kalau langgar undang-undang, kita minta pihak polis gunakan akta yang ada untuk menghukum mereka,” katanya.

Dilaporkan, sekumpulan peserta perhimpunan ‘baju merah’ di Jalan Petaling didakwa melakukan provokasi dan masih enggan berundur walaupun Pasukan Polis Simpanan Persekutuan (FRU) melepaskan pancutan air ke arah mereka, manakala di Bukit Bintang pula kumpulan sama dikatakan merempuh sekatan selepas dihalang memasuki kawasan berkenaan.

Jamal turut menafikan peserta di kalangan NGO pimpinannya terlibat dalam kekecohan di Jalan Petaling dan Bukit Bintang di sini.

“Dalam ramai orang yang hadir kita tak tahu siapa mereka. Baju merah tak boleh dijadikan sebagai bukti mereka ini di kalangan kami.

Baju merah ini boleh dibeli di mana-mana pun, dengan hanya memakai baju merah dan menuduh kami adalah tidak adil,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak menggunakan laluan ke Jalan Petaling untuk berarak ke lokasi perhimpunan di Padang Merbok.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya mereka yang berada di Petaling Street bukan daripada kalangan kami. Ia di luar dari laluan, kami berarak dari Jalan Conlay sehingga ke mari (Padang Merbok).

“Saya percaya mereka ini sengaja buat provokasi ingin ‘merampas’ program yang baik ini. Saya percaya mereka ini bukan daripada kalangan kami.

“Kita datang hari ini untuk menghadiri perhimpunan aman bagi menunjukkan solidariti orang Melayu, bagaimana sopannya orang Melayu jadi mereka itu bukan daripada kalangan kami,” katanya.

-MStar

 

Tinggalkan komen anda