Skip to main content
HomeViral

JAS Akan Guna Pendekatan Lebih Terperinci Tentukan IPU

By 30 September 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

PUTRAJAYA, 30 Sept  — Jarak penglihatan atau ketampakan semasa jerebu tidak boleh digambarkan atau dipadankan dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU), kata Pengarah Bahagian Udara Jabatan Alam Sekitar (JAS) Mashitah Darus.

Beliau berkata keadaan itu disebabkan jarak penglihatan diukur dan dikemas kini dalam masa nyata sementara bacaan IPU dikemas kini dalam tempoh 24 jam, yang menyebabkan kedua-duanya tidak sepadan.

“Walaupun bila nampak pada mata kasar jerebu teruk, tapi kandungan kepekatan adalah rendah disebabkan wap air yang tinggi.

“Ini kerana zarah-zarah atau partikal habuk diserap dan ia menyerakkan cahaya matahari sehingga menyebabkan jarak ketampakan kurang,” katanya pada bengkel khas media mengenai ‘Cabaran Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dalam Pengurusan Sumber Asli dan Alam Sekitar Secara Lestari’ di sini, Rabu.

Bengkel itu turut dihadiri Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Ir Hamim Samuri dan Ketua Pengarah JAS Datuk Halimah Hassan.

Dalam sidang media kemudian, Halimah berkata JAS dijangka melaksanakan pengukuran jirim zarah lebih halus iaitu bersaiz kurang 2.5 mikrometer (PM2.5) dalam membaca dan menentukan IPU berbanding PM10 ketika ini, selewat-lewatnya pada tahun 2017.

Beliau berkata sebanyak 12 rangkaian Stesen Pengawasan Kualiti Udara yang mampu membaca pada tahap PM2.5 telah dibangunkan di beberapa kawasan di seluruh negara.

“Kiraan IPU berdasarkan PM2.5 akan memberi bacaan lebih tinggi berbanding IPU berdasarkan PM10, namun begitu skala bacaan untuk menentukan status (IPU) baik, sederhana, tidak sihat, sangat tidak sihat dan berbahaya masih sama bagi kedua-dua kiraan,” katanya.

Mengenai perbezaan bacaan IPU di Johor dan Indeks Piawaian Pencemaran (PSI) di Singapura, Halimah menjelaskan republik itu melaksanakan kiraan PSI berdasarkan habuk halus kurang PM2.5 sejak 1 April 2014.

Dalam pada itu, Halimah menasihati orang ramai supaya hanya merujuk kepada aplikasi yang disediakan dan diiktiraf JAS dalam membaca IPU semasa untuk mengelak kekeliruan dan perbezaan bacaan.

Tiga aplikasi itu ialah Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) dan MyIPU yang dibangunkan oleh JAS.

— BERNAMA

 

Tinggalkan komen anda