Skip to main content
EkonomiHomeViral

Jasa Dikenang: Dua Lagi Veteran ATM Terima Kunci Rumah

By 21 September 2015Tiada komen2 minit bacaan
Oleh Diana Yusoff dan Syed Fauzi Syd Mostapa

KUBANG PASU, 21 Sept (Malaysiaaktif) – “Rumah usang, penuh anai-anai dan bocor sana-sini memaksa kami menumpang rumah adik sejak dua bulan yang lalu. Namun, hari ini kami sekeluarga gembira apabila rumah sudah pun siap.”

Begitulah luahan syukur isteri salah seorang penerima di bawah Program Membaik Pulih Rumah Veteran 1Malaysia (1MVHRP-NBOS7) di sini hari ini.

Suaminya, Nak Wiang a/l Lin Sinak Wiang yang lumpuh sejak lapan tahun lalu pernah berkhidmat bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selama 21 tahun, tengahari tadi menerima replika kunci rumah daripada Timbalan Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Wira Mohd Johari Baharum di Kampung Sungai Baru.

Menurut Mohd Johari, projek yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 15 Disember 2012 ini merupakan penghargaan kerajaan terhadap jasa veteran tentera yang pernah berkhidmat mempertahankan keselamatan negara, selain memastikan nasib golongan veteran terbela.

Sehingga 2015, lebih 2,700 borang permohonan diterima  daripada veteran seluruh negara di bawah program ini.

Sejumlah 259 buah rumah bina baharu telah dibina, sementara 245 buah rumah dibaik pulih  sejak 2012 dengan kerjasama KOR Jurutera Diraja.

Tambah beliau, penghargaan lain yang turut diberikan, termasuk bantuan kebajikan melalui skim sara hidup, persekolahan, peralatan pesakit, kemasukan ke IPTA, bencana alam, ubat-ubatan, mengurus jenazah dan rawatan buah pinggang.

Dengan keluasan 720 kaki persegi dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air, kos pembinaan mencecah RM45, 000 untuk bina baharu dan RM11, 000 untuk baik pulih rumah di semenanjung, manakala kos di Sabah dan Sarawak pula, RM50,000 dan RM12,000.

Selain Nak, seorang lagi penerima ialah Ahmad Isa Bin Che Din dari Kampung Tok Arang, Jalan Changlun Kodiang.

 

Tinggalkan komen anda