
Oleh: Faris Fuad
KUALA LUMPUR, 18 Sept (Malaysiaaktif) – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan bahawa pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang mengancam ketenteraman awam dan keselamatan negara.
Beliau berkata pihak berkuasa akan mengambil tindakan undang-undang terhadap peserta perhimpunan bersih mahupun kumpulan “Baju Merah” sekiranya mendapati mereka melanggar arahan yang diberikan.
“Kerajaan mewujudkan Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana bagi saya ia adalah penting untuk memberikan ruang kepada rakyat untuk bersuara.
“Jika tidak diberikan ruang ini, mereka akan mencari jalan lain untuk menyuarakan pendapat mereka,” katanya menerusi laman web sosial Twitter dan blognya, najibrazak.com
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menjelaskan perhimpunan Bersih dilabelkan sebagai demonstrasi haram kerana tujuan mereka yang ingin menggulingkan kerajaan dan mengganggu persiapan Hari Kemerdekaan.
Bagaimanapun, demonstrasi tersebut dijalankan tanpa sebarang sekatan pihak polis.
Dalam pada itu, ada pihak tertentu mempersoalkan keputusan berkuasa memberikan kebenaran kepada peserta “Baju Merah” untuk berhimpun.
“Saya dimaklumkan oleh pihak polis bahawa kebenaran diberikan kerana pertama, mereka tidak berniat menjatuhkan Kerajaan dan kedua, tiada persiapan perarakan berlangsung di tempat mereka mahu berdemonstrasi dan ketiga, mereka telah mendapat kebenaran DBKL”
“Sebab itulah apabila mereka menceroboh kawasan larangan, pihak berkuasa telah bertindak menyuraikan mereka walaupun terpaksa menggunakan meriam air,” kata Najib.
Sebelum ini, “Himpunan Rakyat Bersatu” yang dikenali sebagai pasukan “Baju Merah” dianjurkan Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka) sebagai tanda bantah kepada perhimpunan Bersih 4 di sekitar Dataran Merdeka pada 29 dan 30 Ogos yang lalu.