
Oleh: Faris Fuad
KUALA LUMPUR, 18 Sept (Malaysiaaktif) – Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Tan Sri Mohd Ali Rustam memaklumkan bahawa pihaknya sedia membayar sebarang kos pembersihan berikutan penganjuran ‘Himpunan Rakyat Bersatu’ di sekitar ibu negara, Rabu lepas.
Beliau berkata bayaran sebanyak RM 50,000 adalah setimpal berdasarkan kos pembersihan yang dijalankan.
“Sebelum penganjuran kami memang sedia maklum tentang perkara ini dan saya rasakan jumlah ini adalah munasabah,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Sebelum ini, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mhd Amin Abd Aziz berkata pihaknya akan menuntut kos sebanyak RM50,000 kepada penganjur Himpunan Rakyat Bersatu bagi kerja pembersihan di Padang Merbok serta kawasan yang terlibat.
Beliau memaklumkan tiada kos kerosakan yang dikenakan dan tuntutan ini dijangka akan diberikan kepada penganjur dalam masa seminggu.
Dalam pada itu, Pengerusi Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu, Datuk Jamal Md Yunos juga menyatakan mereka sedia memikul tanggungjawab bagi membayar kos penyelenggaraan sampah.
Jamal menegaskan bahawa pihaknya akan membantu PESAKA untuk meringankan beban mereka.
Perhimpunan yang diterajui Pesaka itu dianjurkan sebagai tanda bantah perhimpunan Bersih 4 yang berniat untuk menjatuhkan kerajaan.