
Oleh Nor Diana Yusoff
KUBANG PASU, 18 Sept (Malaysiaaktif) — Bulan Kebangsaan terus diraikan bersamaan perayaan Hari Malaysia 2015 oleh lebih seribu orang dari pelbagai lapisan masyarakat di daerah ini.
Walaupun hujan sejak awal pagi, program sehari ini dimeriahkan dengan acara-acara berunsur patriotik, seperti Jejak Merdeka, Aspirasi Merdeka, Ekspresi Merdeka dan Master Chef Merdeka yang disertai oleh Komuniti 1Malaysia (K1M) Daerah Kubang Pasu.
Ini merupakan acara tahunan yang dilaksanakan bagi K1M peringkat daerah yang juga membawa pengisian penghayatan komuniti berkenaan dan Pertandingan Futsal Piala Pengarah Penerangan.
K1M Mukim Keplu, Kodiang terus mempertahankan kejuaraan dalam acara ini bagi tahun ketiga berturut-turut dengan membawa pulang piala pusingan.
Acara sampingan yang diadakan termasuk cabutan bertuah yang menawarkan hadiah basikal dan barangan elektrik.
Majlis dirasmikan oleh ADUN Bukit Kayu Hitam, Datuk Haji Ahmad Zaini Japar.
Turut hadir Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Kedah, Dr Haniff Hassan.