Skip to main content
HomeViral

12 ‘Ramli’ Terbaik Ditemui Dalam Musim Ke-4

By 18 September 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Syed Fauzi Syd Mostapa

KUALA LUMPUR, 18 Sept (Malaysiaaktif) – Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal, salah seorang pemenang Mencari Ramli musim ke-4 (MR4) adik Muhammad Daniel Fikri Yazid, 14 tahun dari Melaka menceritakan kenangan manis apabila berpeluang bertemu dengan ikon bola sepak terkenal Manchester United, seperti Wayne Rooney, Ander Herrera, dan Louis Van Gaal.

“Saya ingin menjadi seperti Rooney, bukan atas nama semata-mata tetapi oleh sebab kemahiran dan bakat untuk memajukan sukan bola sepak Malaysia di peringkat dunia,” kata  Daniel yang merupakan penyerang yang masih belajar di Sekolah Sukan Seri Kota Melaka.

Daniel salah seorang daripada 12 yang dipilih setelah Telekom Malaysia Berhad (TM) menjelajah ke 16 lokasi dan menerima penyertaan lebih 10,000 sebelum hanya 36 pemain terbaik  disenarai pendek untuk menjalani latihan di Pusat Latihan Majlis Sukan Negara pada Jun 2015.

Menurut Izlyn Ramli, Naib Presiden Jenama dan Komunikasi Kumpulan TM, MR4 telah menggilap bakat terpendam, selain mencungkil, melatih dan membimbing bakat muda bola sepak negara.

Beliau yang ditemui di sidang media di Bangsar pagi ini berkata, MR4 menjadikan impian 12 pesertanya menjadi realiti apabila mereka dibawa mengikuti latihan bola sepak intensif di Manchester Soccer School (MUSS), melihat Manchester United (MU) beraksi di Old Trafford dan merasai gaya hidup seperti pemain MU, di samping makan di restoran Russo milik Rio Ferdinand.

Rancangan realiti yang ditayangkan di TV3 pada setiap Jumaat ini merupakan hasil kerjasama TM dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kementerian Pendidikan Malaysia.

 

Tinggalkan komen anda