
Oleh: Faris Fuad
KUALA LUMPUR, 25 Sept (Malaysiaaktif) – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengutuk sekeras-kerasnya sebarang tindakan yang melibatkan unsur islamophobia yang semakin meningkat di serata dunia.
Beliau berkata beberapa insiden keganasan yang berlaku seringkali dikaitkan dengan umat Islam biarpun pada hakikatnya ianya dilakukan juga oleh penganut agama yang lain.
“Hakikatnya, keganasan merupakan krisis kemanusiaan yang melibatkan semua, kita mengutuk sekeras-kerasnya gejala Islamophobia yang merupakan satu bentuk penindasan dan diskriminasi yang melampau.”
“Mereka sering mengaitkan Islam dengan keganasan walhal keganasan dilakukan oleh ramai lagi golongan yang bukan islam,” katanya menerusi laman blognya NajibRazak.com hari ini.
Beliau turut menggesa masyarakat tidak kira bangsa dan agama untuk bersatu bagi menolak dan menentang golongan pelampau termasuk golongan yang menimbulkan diskriminasi
“Kita sebagai umat manusia juga perlu bersatu melindungi sesame kita, tidak kira agama daripada puak mendiskriminasi dan penindas agama kerana mereka ini sebenarnya yang bermasalah bukannya orang islam.”
“Tindakan mereka yang sentiasa cuba mengaitkan Islam dengan keganasan ini sangat dikutuk,” katanya lagi.
Sebelum ini, seorang pelajar muslim bernama Ahmed Mohamed, 14 tahun ditahan polis kerana disyaki membawa bom walhal dia cuma membawa jam buatannya sendiri untuk projek sekolah.