Skip to main content
HomeViral

Perhimpunan ‘Baju Merah’ : PAS Tidak Akan Turut Serta

By 8 September 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

KUALA LUMPUR, 9 Sept — PAS tidak akan menyertai perhimpunan ‘baju merah’ yang dijadual diadakan di ibu negara pada 16 September ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan bagaimanapun berkata, parti itu berpandangan program Himpunan Rakyat Bersatu berkenaan adalah hak demokratik rakyat untuk berhimpun secara aman yang sewajarnya diterima oleh semua pihak.

“Namun PAS memutuskan untuk tidak menyertai atau mengerahkan ahli dan penyokongnya menyertai perhimpunan tersebut,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Jelas Ahli Parlimen Kota Baru itu, adalah keterlaluan bagi PAS untuk sekali lagi mengerahkan ahli dan penyokongnya hadir ke ibu negara pada tarikh berkenaan kerana parti itu akan mengadakan Kongres Rakyat di Shah Alam pada 12 September ini.

“PAS juga tidak mengetahui, dihubungi atau dijemput secara rasmi oleh penganjur perhimpunan yang dimaksudkan. Justeru kami tidak mengetahui secara sah akan tujuan himpunan, penyertaannya, aturcara dan agenda untuk membolehkan kami menilai mahupun memberi apa-apa komitmen terhadapnya.

“Kami juga berpandangan pemilihan tarikh keramat 16 September juga bersifat eksklusif kelompok itu adalah sangat tidak sesuai, malah berlawanan dengan semangat Malaysia yang sudah sedia sinonim dengan tarikh tersebut,” katanya.

Pada Isnin Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata polis tidak akan membenarkan penganjuran perhimpunan ‘baju merah’ pada 16 September ini atas implikasi keselamatan.

Noor Rashid berkata setakat ini pihak penganjur masih belum membuat sebarang permohonan untuk mengadakan perhimpunan berkenaan yang dirancang diadakan sempena sambutan Hari Malaysia.

Media melaporkan Himpunan Rakyat Bersatu dijadual berlangsung pada 16 September dan 10 Oktober di Bukit Bintang dan Jalan Petaling.

Perhimpunan itu diadakan sebagai tindak balas dan protes terhadap perhimpunan Bersih 4 yang dikatakan mengganggu perniagaan di kawasan tumpuan orang Melayu di ibu kota.

 

— Mstar

Tinggalkan komen anda