Skip to main content
HomeViral

5 Pasukan, 29 Atlet Sukan SEA Singapura Terima Insentif

By 9 Oktober 2015Tiada komen1 minit bacaan

 

Oleh Syed Fauzi Syd Mostapha

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Malaysiaaktif) – Lima pasukan terbaik bersama 29 atlet individu cemerlang dalam Sukan SEA di Singapura Jun lepas, mendapat habuan masing-masing pada majlis Olympic Council of Malaysia (OCM)-Sports Toto Outstanding Awards 2015 yang berlangsung semalam.

Walaupun kontinjen Malaysia mencipta kejayaan manis dengan mengumpul 62 pingat emas pada temasya itu, namun hanya atlet terbaik dalam sukan masing-masing dipilih untuk menerima insentif.

Insentif berjumlah RM43,900 dikongsi bersama oleh pemenang pingat emas dalam 19 acara sukan.

Antara atlet individu yang menerima insentif sebanyak RM1,000 kali ini, termasuk pemenang tiga pingat emas, Rafiq Ismail (boling), Ooi Tze Liang (terjun) dan Fatin Nurfatehah Mat Salleh (memanah).

Rafiq Ismail, 18 tahun yang pertama kali mewakili negara dalam Sukan SEA menganggap kejayaannya merangkul tiga emas dan satu perak sebagai pembakar semangat untuk bergelar pemain terbaik dunia sebelum mencecah usia 25 tahun.

Dalam majlis yang memasuki edisi ke-enam itu, pasukan hoki lelaki dan wanita negara masing-masing turut menerima insentif bernilai RM5,400, pasukan bola keranjang wanita pula membawa pulang RM3,600, regu sepak takraw menerima RM1,500 manakala pasukan wusyu menerima habuan RM1,000.

Presiden OCM, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja’afar hadir untuk menyempurnakan majlis penyampaian hadiah yang diadakan di OCM Hall of Fame Museum.

Malaysia bakal menjadi tuan rumah untuk Sukan SEA 2017.

 

Tinggalkan komen anda