
Oleh Dila Khamde
KUALA LUMPUR, 8 Okt (Malaysiaaktif) — Buat julung kalinya pengamal individu atau korporat dalam Perhubungan Awam boleh mendaftar diri untuk menyertai Anugerah Kecemerlangan Perhubungan Awam ASEAN 2015.
Sebanyak tujuh kategori anugerah dipertandingkan, iaitu Kempen Perhubungan Awam, Pengendalian Krisis, Perhubungan Media, Pengurusan Acara, Tanggujawab Sosial Korporat, Anugerah Profesional Khas Perhubungan Awam dan Etika Perhubungan Awam.
Anugerah khas anjuran Institut Perhubungan Raya Malaysia (IPRM) dengan kerjasama Institut Perniagaan Beretika Malaysia (BEIM) dan Akademi Perhubungan Awam Asia ini, bertujuan memberi penghargaan kepada pengamal perhubungan awam di negara-negara ASEAN.
Pengerusi Akademi Perhubungan Awam Asia, Tan Sri M. Kayveas, yang hadir pada majlis pra pelancaran di Royal Selangor Golf Club pagi tadi berkata, beliau berbangga dengan peranan dan pencapaian dalam mewujudkan komuniti Asean.
Beliau berkata, melalui penyertaan dari rantau Asean, lebih banyak syarikat peruhubungan awam akan dapat berinteraksi dan berkongsi pengalaman mereka.
Menurut presiden IPRM, Datuk Haji Ibrahim Abdul Rahman, anugerah ini juga bagi meletakkan tahap piawaian perhubungan awam serta meningkatkan standard profesionalisme perhubungan awam. Turut hadir pada majlis pra pelancaran, Pengerusi BEIM, K. Haridas.
Penyampaian anugerah ini dijangka diadakan pada 30 November di Kuala Lumpur. Tarikh tutup penyertaan adalah pada 18 November 2015.
Maklumat lanjut boleh didapati melalui laman web www.aseanprawards.com