Skip to main content
HomeViral

Kes Khairuddin, Matthias Dirujuk Ke Mahkamah Persekutuan

By 19 Oktober 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

KUALA LUMPUR, 20 Okt — Mahkamah Tinggi pada Isnin merujuk kes bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguam Matthias Chang Wen Chieh ke Mahkamah Persekutuan bagi memastikan sama ada pertuduhan yang mereka hadapi boleh dibicarakan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) Akta 2012 (SOSMA).

Hakim Datuk Mohd Azman Husin berkata mahkamah akan mengemukakan tiga persoalan berhubung isu perlembagaan ke mahkamah tertinggi negara tidak lama lagi, antara lain, adakah tuduhan terhadap tertuduh sebagaimana yang dikemukakan di mahkamah ini mengikut Seksyen 124L Kanun Keseksaan, di luar lingkungan perlembagaan SOSMA?

“Jika jawapan kepada persoalan pertama adalah ya, adakah tertuduh mempunyai hak untuk dibebaskan dengan ikat jamin dengan serta-merta?

“Jika jawapan kepada persoalan pertama adalah tidak, haruskah perbicaraan terhadap kedua-dua tertuduh dijalankan di Mahkamah Sesyen mengambil kira peruntukan hukuman tertakluk di bawah Seksyen 124L Kanun Keseksaan?,” katanya.

Hakim membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan peguam Mohamed Hanif Khatri Abdulla dan Zainur Zakaria yang mewakili Khairuddin dan Chang serta Timbalan Pendakwa Raya Mohd Masri Daud dan Mohamad Abazafree Mohd Abbas.

Pada 13 Oktober lalu, Khairuddin dan Chang memfailkan notis usul mengikut Seksyen 35 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, di Mahkamah Tinggi memohon beberapa perintah  antaranya pertuduhan yang dihadapi mereka mengikut Seksyen 124L Kanun Keseksaan tidak tergolong sebagai pertuduhan untuk dibicarakan mengikut SOSMA dan sehubungan itu memohon mahkamah melepaskan mereka dengan jaminan berpatutan.

Khairuddin, 53, dan Chang, 65, didakwa mengikut Seksyen 124L Kanun Keseksaan (Akta 547) dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama, yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun jika sabit kesalahan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di lima lokasi antara 28 Jun dan 26 Ogos tahun ini.

Lokasi berkenaan adalah pejabat Ketua Bahagian Jenayah Ekonomi dan Kewangan Perancis di Paris, Balai polis Charing Cross, London, United Kingdom, Pejabat Peguam Negara Switzerland di Bern, Balai polis WaiChan, Hongkong dan Ibu Pejabat Polis Cantonment, Singapura.

Dalam prosiding pada Isnin, Khairuddin dan Chang, yang berkemeja T putih, melemparkan senyuman kepada anggota keluarga mereka apabila memasuki mahkamah.

Isteri Khairuddin, pelakon Datin Seri Umie Aida juga hadir bersama diiringi rakan rapatnya pelakon Erra Fazira.

Semasa mahkamah berhenti rehat, Umie Aida dilihat berbual dengan suaminya.

Selepas hakim menyampaikan keputusannya, Chang yang duduk di kandang tertuduh mengangkat tangan untuk bercakap.

Apabila diberi peluang untuk berhujah, Chang berkata beliau mahu hakim membuat keputusan sama ada tindakan mereka melawat empat balai polis dan sebuah Jabatan Peguam Negara di luar negara dianggap sebagai usaha untuk mensabotaj perkhidmatan kewangan di negara ini.

“Yang Arif telah membaca pertuduhan itu, saya seorang peguam cara selama 39 tahun. Apakah kami akan mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu ?, “katanya sambil menambah bahawa mereka tidak patut dijadikan bahan uji kaji walaupun soalan-soalan adalah baru.

Mohd Azman berkata mahkamah telah membuat keputusan mengenai perkara itu dan telah merujuk kes itu ke Mahkamah Persekutuan.

 

– BERNAMA

 

Tinggalkan komen anda