Skip to main content
Home

Pembentukan Belia Penting Demi Masa Depan Negara – Reezal

By 30 Oktober 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Faris Fuad (Putrajaya)

PETALING JAYA, 30 Okt (Malaysiaaktif) –Pelaburan dalam memperkasakan pembangunan dan kepimpinan belia dilihat penting bagi mengalakkan mereka untuk terus mengambil bahagian dan aktif dalam program membabitkan isu penting negara.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata belia memainkan peranan penting dalam mencorakkan masa depan negara.

“Belia yang diperkasakan akan berupaya untuk mendorong dan menggerakkan diri mereka sendiri dan lainnya ke arah mencapai visi yang berpaksikan semangat kekitaan dan identiti serupa,” katanya semasa merasmikan Bengkel Serantau mengenai Peranan Belia Dalam Menggalakkan Hak Asasi Manusia dalam ASEAN: Menjadikan Hak Satu Realiti di Universiti Malaya, hari ini.

“Ini akan membolehkan kita untuk memperkukuhkan lagi pembinaan komuniti dan integrasi serantau selaras dengan pewujudan Komuniti ASEAN menjelang akhir tahun ini.”

Dalam pada itu, beliau berpendapat generasi muda kini lebih gemar menyuarakan pendapat menerusi media sosial.

“Kebebasan bersuara merupakan sebahagian daripada cara hidup mana-mana masyarakat demokratik dan kita menyambut baik dan turut mengamalkannya, dan tatkala kita menuju ke arah demokrasi matang, kita patut mewujudkan persekitaran yang dapat merangsang belia kita untuk menyuarakan pendapat mereka.

“Ini juga bermakna membolehkan mereka menyumbang secara bermakna dalam proses membuat keputusan dan mengambil bahagian secara konstruktif dalam tadbir urus di peringkat negara dan antarabangsa,” katanya lagi.

Namun, Reezal Merican menegaskan kebebasan mempunyai had terutama jika ia menghina atau memperlekeh sensitiviti sosial golongan lain.

Sebelum ini, Program Pewaris Muda 1Malaysia (Pewaris) dilancarkan dengan objektif untuk  melahirkan ikon dalam kalangan anak muda yang bakal menjadi pelapis kepemimpinan negara pada masa hadapan.

Ia adalah salah satu inisiatif kerajaan bagi melahirkan pemimpin yang dekat di hati masyarakat.

 

Tinggalkan komen anda