Skip to main content
EkonomiHomeViral

“Boleh Panggil Jho Low Jika Ada Keperluan Siasatan” – PAC

By 18 November 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Faris Fuad (Parlimen)

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Malaysiaaktif) – Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengumumkan mereka boleh memanggil ahli perniagaan, Jho Low jika mempunyai keperluan berkaitan penyiasatan syarikat pelaburan strategik milik Kementerian Kewangan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pengerusinya, Datuk Hasan Arifin menegaskan jika ia berlaku, perkara tersebut perlu dilaksanakan mengikut prosiding dan kerangka undang-undang.

“Kita perlu lihat kepada kerangka undang-undang sama ada beliau terlibat atau tidak apa-apa berkaitan dengan 1MDB.

“Kita boleh minta dia hadir. Sehingga sekarang polis antarabangsa (interpol) pun tidak tahu di mana beliau berada. Bagaimana untuk cari?

“Kita perlu melakukan melalui kerangka undang-undang sama ada kita boleh menangani mengikut peraturan atau tidak,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri mesyuarat PAC di Parlimen hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rompin itu turut mengingatkan sekali lagi bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak mempunyai kaitan dalam siasatan 1MDB yang akan bermula minggu hadapan.

“Tidak ada keperluan untuk panggil Perdana Menteri, saya hendak tegaskan di sini, isu 1MDB dengan derma yang dimasukkan ke dalam akaun Perdana Menteri, dua isu yang berbeza.

“Biar orang awam tahu, ia telah dinyatakan dalam laporan interim Ketua Audit Negara,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri berjanji mengambil tindakan paling keras terhadap individu yang bertanggungjawab jika siasatan 1MDB mendedahkan wujud salah laku.

Najib berkata 1Malaysia Development Berhad berdepan tempoh yang sangat mencabar namun langkah-langkah perlu sedang diambil untuk menangani masalah tersebut.

 

Tinggalkan komen anda