Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahEkonomiHomeSelangorViral

Kenaikan Tarif Air Kerajaan Negeri Tidak Wajar – Bekas MB Selangor

By 12 November 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Faris Fuad (Putrajaya)

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Malaysiaaktif) – Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyelar tindakan Kerajaan Negeri Selangor untuk menaikkan tarif air sebaik sahaja proses penukaran syarikat konsesi air di negeri tersebut.

Beliau berpendapat kenaikan itu sepatutnya dilaksanakan selepas tiga hingga empat tahun industri perkhidmatan air Selangor berjaya distruktur semula sepenuhnya.

“Saya amat terkejut dan terkilan dengan perubahan mendadak pada dasar-dasar awam seumpama ini memandangkan antara sebab asal utama penstrukturan semula indusri air dilaksanakan adalah supaya rakyat boleh menikmati perkhidmatan air yang lebih efisien dan pada tarif yang berpatutan.

“Saya yakin banyak lagi usaha yang perlu dan boleh dilakukan sebelum langkah drastik menambah beban rakyat akibat lonjakan kos sara hidup dengan menaikkan tarif air sebaik sahaja proses pengambilalihan selesai,” katanya menerusi entri Facebook rasminya hari ini.

Khalid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang juga menasihatkan Kerajaan Negeri untuk memotong kos yang tidak perlu bagi mengelakkan kenaikan tarif air tersebut.

Beliau menambah ia boleh dibuat dengan mengurangkan kontrak berlapis-lapis (multi-level contracts) dan menghentikan serta-merta penganugerahan sub-kontrak.

“Sebagai pemilik mutlak, Kerajaan Negeri tidak perlu lagi mematuhi terma dan syarat yang terkandung dalam Perjanjian Konsesi atau mengikut kaedah operasi lama yang dipraktikan oleh syarikat konsesi.

“Sebaliknya, ia mempunyai kuasa menetapkan kaedah pricing dan costing yang baharu di setiap peringkat operasi sebagai salah satu strategi kawalan kos keseluruhan; sekaligus mengurangkan malah menghapuskan keperluan menaikkan tarif,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu turut menggesa pemimpin Pakatan Harapan (PH) untuk menjalankan tanggungjawab kepada rakyat di kawasan sendiri sebelum menghentam peranan Barisan Nasional.

“Sudah tibalah masanya untuk hentikan sikap hipokrit dan berdolak-dalih dan dengan peluang serta kawalan dan kuasa penuh sekarang, Kerajaan Negeri harus buktikan keupayaan mengurus industri perkhidmatan air lebih baik daripada era Barisan Nasional di samping mengotakan semua tawaran dalam Manifesto Pilihanraya Umum ke-13.

“Ingin juga saya nasihatkan para pemimpin dari PH dan Pas bahawa “perjuangan “reformasi” yang dilaungkan selama ini bukan hanya untuk mencari salah dan kelemahan Barisan Nasional tetapi juga sebagai panggilan bermuhasabah untuk memperbaiki diri sendiri jika mahu terus membina dan memperteguh keyakinan rakyat bahawa mereka mampu membentuk kerajaan yang lebih baik,” tegasnya,” tegasnya lagi.

Sebelum ini, Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali memaklumkan Kerajaan Selangor tetap akan menaikkan tarif air setelah proses pengambilalihan keempat-empat syarikat konsesi air di negeri itu selesai.

Beliau berkata keputusan itu dibuat berikutan tampungan kos bagi proses pengambilalihan bagi memastikan perkhidmatan air berkualiti dan efektif.

 

Tinggalkan komen anda