Skip to main content
HomePerakViral

Mercun, Air Ketum – Dua Ditahan Pada Saingan Perak / JDT

By 6 November 2015Tiada komen1 minit bacaan

 

IPOH, 6 Okt — Polis menahan dua lelaki kerana disyaki membawa bahan letupan dan air ketum dengan niat menimbulkan kekecohan di Stadium Perak di sini pada malam Khamis.

Perak tewas 1-2 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada saingan Piala Malaysia Kumpulan B.

Timbalan Ketua Polis Ipoh Superintendan Mat Nor Rashid berkata, remaja lelaki berusia 18 tahun adalah salah seorang suspek yang membawa 11 mercun ke stadium itu.

“Seorang lagi ditahan kerana membawa air ketum dan tindakan akan dikenakan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1985,” katanya.

Jelasnya lagi, bagaimanapun, tidak berlaku kekecohan di kalangan penyokong di dalam stadium.

Penyokong JDT diiringi polis yang keluar dari stadium menggunakan bas Unit Simpanan Persekutuan (FRU), manakala penyokong Perak pula mengambil masa selama dua jam untuk bersurai selepas perlawanan tamat pada pukul 10.30 malam dengan kawalan FRU di pintu keluar stadium.

Pada pukul 12.08 tengah malam, ‘JDT Batu Bus’ masuk ke pekarangan stadium dan membawa pemain Johor yang dikawal ketat oleh polis.

Bas ini telah dilengkapi dengan jeriji logam di bahagian cermin dan tingkap selepas penyokong Perak dalam perlawanan sebelum ini, melempar batu dan memecahkan cermin bas berkenaan.

 

– MS

 

Tinggalkan komen anda