Skip to main content
Home

Pasukan Kriket ‘RMAF Hawks’ Bakal Beraksi di IDCC ’15

By 6 November 2015Tiada komen1 minit bacaan

 

Oleh Jaitripta Kaur A/P Gajit Singh (Selangor)

SHAH ALAM, 6 Nov (Malaysiaaktif) — Pasukan kriket Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), ‘RMAF Hawks’ akan ke Canberra, Australia untuk menyertai International Defence Cricket Challenge 2015 (IDCC ’15).

Pertandingan yang akan diadakan bermula 14 hingga 30 November ini turut disertai oleh 10 pasukan dari Australia, New Zealand, Fiji, Pakistan dan United Kingdom.

Timbalan Panglima Tentera Udara, Datuk Seri Affendi Buang memberitahu satu sidang media hari ini bahawa TUDM akan menghantar 20 orang yang terdiri daripada dua pegawai dan 18 anggota lain pangkat.

Beliau berkata, kontigen TUDM diketuai oleh Mejar Salehudin Azam dengan dibantu oleh  Mejar Hardeep Singh A/L Meha Singh merangkap pengurus pasukan. Juga buat kali ketiga, Koperal Anwar Arudin dipilih sebagai ketua pasukan ‘RMAF HAWKS’ yang terdiri daripada seramai tujuh orang pemain yang juga aktif bermain untuk skuad utama kriket negara.

Affendi juga berkata kejohanan ini dengan tidak secara langsung akan membantu mengeratkan hubungan diplomatik melalui sukan di antara TUDM dan negara-negara lain.

Kejohanan ini juga mendedahkan pasukan tersebut di peringkat antarabangsa bagi meningkatkan lagi prestasi permainan.

 

 

Tinggalkan komen anda