
Oleh Noor Suzilawati Jamaludin (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 14 Nov (Malaysiaaktif) — Seramai 400 orang di kawasan Parlimen Batu hari ini menerima sumbangan cermin mata.
Penerima terdiri daripada penduduk pelbagai lapisan umur, termasuk golongan asnaf dan keluarga asnaf yang berpendapatan isi rumah di bawah RM3,000.
Program ‘Dari Mata Turun Ke Hati’ ini anjuran Biro Pemuda Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat Parlimen Batu (MKPMPB) dengan kerjasama Baitulmal Kuala Lumpur dan Gerakan Belia 4B.
Majlis yang berlangsung di Perkarangan Taman Desa ini bermula dengan sesi pemeriksaan mata oleh vendor dilantik oleh Baitulmal Kuala Lumpur.
Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Haji Yahaya Mat Ghani berkata bukan setakat ini sahaja sumbangan daripada UMNO Batu, malahan pada Disember akan datang mereka akan menyediakan peruntukan sebanyak RM10,000 kepada Pemuda UMNO kawasan bagi program gunting rambut menjelang pembukaan sesi persekolahan pada awal tahun hadapan.
Program dirasmikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.