Skip to main content
HomeViral

Kandungan Ucapan Muhyiddin Fitnah, Nafi Desak Najib Undur 

By 30 November 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Faris Fuad (Putrajaya)

KUALA LUMPUR, 30 Nov (Malaysiaaktif) – Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyelar sebarang dakwaan mengatakan beliau menggesa Datuk Seri Najib Razak untuk meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.

Beliau menyifatkan laporan sebegitu sebagai fitnah berikutan penyebaran gambar penulisan beberapa individu menerusi aplikasi WhatsApp baru-baru ini.

“Kandungan ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pagoh seperti yang dipaparkan di kedua-dua Facebook Rafi Awang Kechik dan Perak Today dan tersebar melalui WhatsApp adalah fitnah.

“Sila rujuk laporan berita The Malaysian Insider, Malaysiakini, Sinar Harian, Astro Awani dan The Star yang membuat liputan ucapan TSMY yang sebenar,” katanya menerusi laman Facebook beliau hari ini.

Sebelum ini, blogger, Rafi Awang Kechik berpendapat kandungan ucapan Muhyiddin tempoh hari bersifat hasutan.

“Kalau itu fitnah, sebagai manusia biasa saya mohon maaf, tapi pada sesiapa yang ada di majlis TSMY semalam, ucapan beliau sama dengan apa yang Tun Mahathir tulis, ucapan yang penuh dengan elemen hasutan.

“TSMY ada tiga majlis pada petang itu dan dalam dua majlis, satu pertemuan tertutup dengan lebih kurang 100 ketua cawangan, ucapan TSMY tak jauh beza dengan apa yang Tun M tulis, malah lebih mengejutkan, TSMY boleh merujuk kepada Malaysian Insider dan Merdeka Centre. Sejak bila portal ini dirujuk sebagai benar?” katanya menerusi laman Facebooknya hari ini.

Semalam, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO menjelaskan beliau telah dinafikan haknya sebagai Timbalan Presiden Parti itu apabila tidak dibenarkan berucap dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2015 yang akan berlangsung pada 8 Disember ini.

“Perhimpunan yang diadakan ini merupakan satu platform yang baik untuk mencari keputusan dan penyelesaian yang dihadapi oleh UMNO dan Negara,” katanya ketika berucapa dalam satu majlis  di Pagoh, Johor semalam.

Tinggalkan komen anda