Oleh Maherah Marina Mahusin (Kuala Terengganu)
KUALA TERENGGANU, 23 Nov (MalaysiaAktif) — Enam keluarga mangsa kebakaran di Tanjung Bemban baru-baru ini akan menerima kunci rumah baharu selewat-lewatnya minggu ini, kata Penolong Pengurus Unit Perumahan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Abdul Hakim Abdullah.
Ini susulan penyerahan surat tawaran di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang berlangsung di Dewan Dato’ Abu Bakar pada Jumaat lepas.
Menurut Pegawai Pembangunan Kuala, Datuk Mohd Sabri Alwi, rumah PPR yang bertempat di Padang Hiliran adalah rumah sewa bukan status sewa beli.
Beliau berkata agak sukar untuk mengagihkan bantuan perumahan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) kerana mangsa yang terlibat dalam kebakaran tidak menghuni tanah milik sendiri.
Namun demikian, beliau memberi jaminan sekiranya ada projek perumahan sewa beli yang didirikan di Parlimen Kuala Terengganu, mereka tidak akan dipinggirkan.
Semua mangsa yang mendapat surat tawaran akan diberikan kunci rumah dengan sewa bulanan hanya RM174 selepas wang deposit dibayar.