Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurHomeKelantanViral

Sg Golok Melimpah, 600 Penduduk Rantau Panjang Putus Hubungan

By 30 November 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

PASIR MAS, 30 Nov– Kira-kira 600 penduduk di empat kampung di Rantau Panjang di sini, terputus hubungan berikutan limpahan air Sungai Golok sejak Ahad malam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang Penolong Pegawai Bomba Rahmat Kamaruzzaman berkata empat kampung terbabit ialah Kampung Tersang, Kampung Bongor, Kampung Jawi dan Kampung Putat Tujuh.

“Kampung terbabit terputus hubungan selepas jalan kampung yang menghubungkan dengan jalan utama di Lubok Jong dinaiki air kira-kira satu meter.

“Bagaimanapun, tiada mangsa dipindahkan setakat ini dan keadaan masih terkawal,” katanya ketika ditemui di Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang di sini, Isnin.

Beliau berkata seramai 45 anggota bomba termasuk anggota sukarelawan dan bomba bantuan dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi banjir pada kali ini.

Sementara itu, tinjauan Bernama di kawasan terlibat mendapati penduduk mula membuat persiapan dengan memindahkan kereta ke tempat tinggi kerana bimbang air semakin meningkat naik.

Selain itu, penduduk yang tinggal berdekatan dengan Jalan Lubok Jong mula membina titi yang menyambungkan rumah mereka dengan jalan berkenaan supaya senang untuk berpindah.

Seorang penduduk, Jasmin Hasan, 55, dari Kampung Lubok Jong di sini, berkata hujan lebat mula berlaku sejak Jumaat lepas sehingga menyebabkan air di kawasan rumahnya naik sehingga satu meter.

“Bagaimanapun saya masih belum mahu berpindah kerana nak tengok keadaan semasa. Jika air terus naik dan arahan berpindah dikeluarkan, baharu saya akan berpindah,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mah Long, 56, berkata banjir di kawasan itu adalah perkara biasa setiap kali berlakunya musim tengkujuh.

Sehingga 4 petang ini, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang mencatatkan paras bacaan 9.60 meter. Paras bahaya bagi sungai berkenaan adalah 9 meter.

DI SIBU, pusat pemindahan banjir di Sekolah Jenis Kenangsaan Cina (SJKC) Tong Ah di Selangau ditutup pada 9 pagi hari ini selepas banjir yang menjejaskan beberapa sekolah dan rumah panjang semalam, kembali pulih.

Menurut pegawai Pertahanan Awam daerah Sibu Kapten Frankie John, 31 mangsa dari 12 keluarga yang dipindahkan ke pusat berkenaan malam tadi telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

“Ada di antara penduduk yang terjejas tidak bermalam di pusat pemindahan tetapi menumpang di rumah saudara-mara mereka,” katanya di sini.

 

-ms

 

Tinggalkan komen anda