Skip to main content
Berita TempatanSabah

“Anugerah Wartawan Muda,” Hargai Usaha Wartawan Sabah

By 14 Disember 2015Disember 16th, 2015Tiada komen3 minit bacaan

 

 Oleh Zuraidah Ahmad (Sabah)

KOTA KINABALU, 14 Dis (Malaysiaktif) –? Anugerah Wartawan Muda Yayasan Sabah-JaPen 2015 yang diumumkan Pengarah Penerangan Sabah, Datuk Haji Almain Ajirul selepas mesyuarat pertama anugerah itu pada 10 Disember lalu, mendapat reaksi positif dalam kalangan pengamal media di negeri ini.

Antaranya, Wartawan TV3, Elphage Godomon sangat bersetuju dengan anugerah tersebut yang akan memberi motivasi kepada wartawan muda untuk berkhidmat dengan lebih cemerlang dan menghasilkan bahan berita yang lebih berkualiti.

Beliau yang pernah meraih Anugerah Kewartawanan TV Terbaik MPI – Petronas 2007 di Kuala Lumpur dan merangkul beberapa lagi anugerah tempatan seperti Anugerah Kewartawanan Shell Kinabalu menasihatkan rakan media agar menghantar penyertaan terbaik mereka untuk dipertandingkan.

Senada dengan beliau, Penyunting di salah sebuah akhbar tempatan, Maryati Mursidi yang mempunyai pengalaman selama 30 tahun berkata penganugerahan sedemikian sedikit sebanyak menjadi penyuntik semangat kepada pengamal media yang baru berkecimpung dalam dunia kewartawanan, selain memberi pengiktirafan ke atas usaha menyampaikan laporan yang berinformasi kepada masyarakat.

“Dari segi penglibatan umur sehingga 36 tahun, saya berpendapat jika anugerah ini dapat diteruskan pada masa akan datang, ia perlu diperluaskan lagi bagi menghargai wartawan-wartawan yang melebihi had umur,” ujarnya.

Manakala, bagi Jurufoto Eksekutif NSTP, Datu Ruslan Sulai pula berkata usaha mengadakan anugerah tersebut adalah idea yang bagus sambil memberi syor agar anugerah diperincikan dari segi syarat-syarat penyertaan terutama pencerahan mengenai wartawan sepenuh masa dan sambilan serta deskripsi tiga media utama.

“Ia idea yang sangat bagus, namun saya ingin mengesyorkan agar syarat-syarat itu diperincikan sama ada penyertaan itu terbuka kepada wartawan sepenuh masa atau sambilan serta media cetak, elektronik dan media online perlu dibezakan,”jelasnya.

Lain pula kisahnya dengan Jurukamera/Jurufoto Portal Sayang Sabah, Jimmy Tan yang berharap kekecewaan mereka terhadap salah satu anugerah kewartawanan tempatan terubat menerusi anugerah anjuran Yayasan Sabah dan Jabatan Penerangan.

“Walaupun tiada kategori khusus untuk media online, sekurang-kurangnya kami dijemput untuk sama-sama meraikan kejayaan rakan-rakan media yang lain. Jemputan itu sudah memadai untuk kami rasa dihargai dan diiktiraf sebagai warga pengamal media,” kata Jimie.

Sementara itu, Setiausaha Akhbar Jabatan Ketua Menteri, Afeiza Khan memuji inisiatif JaPen Sabah yang dianggapnya sebagai langkah pertama ke arah memartabat serta mengiktiraf sumbangan media.

Beliau turut menyarankan agar pada masa akan datang penyertaan diperluas kepada kategori bahasa Cina, KadazanDusun dan media online agar lebih ramai pengamal media memberi komitmen dan laporan terbaik khususnya dalam melaporkan usaha kerajaan dalam pembangunan negara.

Bagi pihak penganjur, Timbalan Pengerusi Bersama yang juga Timbalan Pengarah Penerangan Sabah, Yunus Haji Saprin berkata JaPen Sabah merupakan jabatan pertama yang menganjurkan anugerah seumpama itu dan beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada Yayasan Sabah atas kesudian menaja hadiah.

“Jabatan mengucapkan terima kasih kepada Pengurus Kumpulan Kanan Sumber Manusia dan Perkhidmatan Korporat (Yayasan Sabah/Innoprise Corporation Sdn Bhd), Hajah Rosmawati Lasuki yang berbesar hati menaja hadiah-hadiah bagi anugerah ini.

“Kita juga berharap kerjasama ini akan berterusan demi melaksanakan peranan bersama dalam mempelbagaikan penghargaan kepada media yang terbukti banyak membantu usaha penyampaian dasar-dasar kerajaan kepada masyarakat,” jelas beliau.

Penyertaan anugerah tersebut akan dibuka bermula 1 Januari hingga 15 Februari tahun depan dan memfokuskan kepada penulisan rencana yang berkisar tentang pembangunan negara khususnya di Sabah, kesedaran sivik, jati diri, pembangunan ekonomi, sosial, kesihatan, pemuliharaan hutan, keselamatan, pelancongan, pendidikan, pembangunan belia dan keusahawanan yang memberi manfaat dan pengetahuan kepada masyarakat umum.

Terdapat lima kategori dipertandingkan iaitu Anugerah Penulisan Rencana Terbaik Bahasa Malaysia, Anugerah Penulisan Rencana Terbaik Bahasa Inggeris, Anugerah Penyiaran Dokumentari Terbaik, Anugerah Foto Terbaik dan Anugerah Harapan.

Borang serta syarat-syarat penyertaan boleh dimuat turun menerusi laman web iaitu www.penerangan.gov.my/sabah.

 

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda