Skip to main content
EkonomiHomeViral

Matlamat 2016: Kekal Selamat, Makmur, Sama Rata – Najib

By 31 Disember 2015Tiada komen4 minit bacaan

 

KUALA LUMPUR, 31 Dis — Kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil keputusan yang tegas, perlu dan tepat bagi mencapai matlamat Malaysia untuk kekal sebagai sebuah masyarakat yang lebih selamat, makmur dan sama rata pada tahun 2016, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata keputusan seperti itu akan dibuat sungguhpun ia tidak popular dalam usaha melindungi rakyat daripada kesengsaraan akibat keganasan.

“Untuk melindungi perpaduan yang amat berharga, yang melindungi kepelbagaian kita yang unik dan untuk memelihara masa depan cerah yang merupakan hak lahir bagi setiap rakyat Malaysia.

“Saya boleh memberi jaminan bahawa kerajaan akan sentiasa berusaha dengan segala kekuatan yang ada,” kata Najib dalam perutusan tahun baharu beliau Khamis.

Beliau turut mengingatkan semua rakyat Malaysia agar tidak mengambil mudah soal keselamatan dan memandang rendah terhadap bahaya yang jelas serta wujud yang dihadapi dari luar dan dalam negara.

Malaysia berdepan pelbagai ancaman yang tidak mengenal sempadan, daripada keganasan hinggalah kepada pencerobohan pihak asing ke dalam wilayahnya yang berdaulat, misalnya insiden Lahad Datu pada 2013, kata Najib.

Beliau menarik perhatian bahawa 150 rakyat Malaysia ditahan berhubung aktiviti berkaitan keganasan sejak penubuhan kumpulan dikenali sebagai Islamic State (Daesh) dan kemungkinan berlaku serangan di Kuala Lumpur, yang telahpun digagalkan.

Justeru, perdana menteri berkata ancaman itu perlu dipandang serius, dan sebab itulah kerajaan meluluskan Akta Pencegahan Keganasan pada awal tahun ini dan Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara awal bulan ini.

Najib berkata kedua-dua undang-undang itu akan membolehkan pasukan keselamatan mengawal dan menguruskan ancaman serta bertindak sejak peringkat awal, sebelum keadaan semakin buruk.

“Kami tidak akan menunggu sehingga tindakan kejam pengganas berlaku sebelum melaksanakan dengan aktif segala langkah perlu untuk mengelak kemungkinannya,” katanya.

Najib turut menegaskan bahawa perjuangan menentang radikalisme dan mereka yang mencemarkan kesucian Islam melalui tindakan keganasan mesti turut diperangi di Malaysia, bukan di Timur Tengah sahaja.

Menyifatkan 2015 sebagai tahun yang penuh cabaran bagi Malaysia dan negara lain, beliau berkata dari sudut ekonomi, Malaysia bukanlah satu-satunya negara yang terjejas ekoran kejatuhan harga minyak.

“Bagaimanapun, sebagai sebuah daripada beberapa negara pengeksport penuh minyak di Asia Timur, ia menjejaskan kewangan kita lebih teruk daripada negara lain,” katanya, dan menambah, kemelesetan ekonomi di China turut memberi kesan kepada ekonomi tempatan.

Beliau berkata walaupun di sebalik cabaran ekonomi global yang melanda, Bank Dunia memuji Malaysia kerana memastikan dasar makroekonominya terus kukuh.

“Pada 2016, kita menjangka ekonomi kita akan berkembang antara empat dan lima peratus, dipacu oleh pelaburan swasta dan penggunaan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, perdana menteri menegaskan bahawa kerajaan tidak pernah mengambil jalan mudah dan popular dalam mendepani cabaran seperti yang dibuktikan menerusi pelaksanaan GST.

“Cukai baharu jarang diterima baik. Namun, di sebalik kejatuhan harga minyak, jika tidak memperoleh hasil daripada GST, defisit kewangan kita akan meningkat daripada 3.1 peratus kepada 4.8 peratus pada 2016,” katanya.

Ini, kata beliau, akan mendorong penurunan dalam penarafan kredit Malaysia yang antara lain akan membawa kepada kadar faedah lebih tinggi, penurunan dalam pelaburan dan pengurangan peluang pekerjaan.

“Kesejahteraan dan kemajuan rakyat sentiasa berada dalam fikiran kami apabila kami menggubal dasar ini,” katanya.

Beliau berkata meningkatkan kebingkasan ekonomi, mengurus kesan daripada kerentanan luar dan melindungi kepentingan rakyat akan menjadi keutamaan kerajaan pada 2016.

Najib berkata kerajaan akan terus menyemak dan memantau rapi semua dasar serta program bagi memastikan ia membawa manfaat ketara kepada rakyat.

“Keazaman saya ialah melihat tiada rakyat Malaysia akan tersisih apabila negara kita terus melakar kemajuan. Kami mempunyai perancangan, ia sedang dilaksanakan dan membuahkan hasil,” katanya.

Mengenai isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Najib berkata tindakan sesetengah pihak yang terlebih dahulu membuat kesimpulan tentang isu itu, berdasarkan fitnah politik, ketirisan dan maklumat yang tidak lengkap, memberi mudarat kepada ekonomi Malaysia dan mencemarkan nama baiknya di luar negara.

Bagaimanapun, beliau berkata langkah yang diambil syarikat itu yang pada hari ini memeterai perjanjian bagi penjualan 60 peratus ekuiti dalam Bandar Malaysia kepada sebuah konsortium tempatan dan antarabangsa, merupakan langkah terakhir dalam menyelesaikan penyusunan semula program 1MDB.

Perdana menteri berkata oleh itu, jelas bahawa cabaran besar yang dihadapi 1MDB sebelum ini sudah berlalu, sambil menarik perhatian bahawa perjanjian itu akan menyaksikan hutang syarikat itu akan berkurangan kira-kira RM40.4 bilion yang mewakili sebahagian besar daripada hutang 1MDB.

“Sekarang adalah masa untuk kita menunggu hasil siasatan terhadap syarikat itu; mengambil pengajaran yang perlu daripadanya; dan sama-sama melangkah ke hadapan secara konstruktif,” katanya.

Perutusan tahun baharu itu turut menegaskan peri pentingnya perpaduan dan perdana menteri menggesa rakyat agar sentiasa saling menghormati serta tidak sesekali mencetuskan ketegangan.

Beliau turut menggesa rakyat untuk mengambil bahagian dan menyokong penubuhan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik sebagai satu pembaharuan untuk mengukuhkan integriti dan ketelusan tonggak demokrasi di negara ini.

Dalam perkembangan lain, Najib berkata 2015 melakar satu lagi sejarah bagi Malaysia selaku pengerusi ASEAN tahun ini, dengan penubuhan Komuniti Ekonomi ASEAN yang menandakan bermulanya era baharu bagi penduduk rantau ini yang berjumlah 625 juta orang.

“Kita menjadi tuan rumah kepada pemimpin dunia di Kuala Lumpur apabila ASEAN dan Amerika Syarikat mengumumkan pembentukan satu perkongsian strategik baharu, manakala hubungan kita dengan China pula menjadi semakin kukuh,” katanya.

Najib berkata sebagai sebuah negara yang stabil dan toleran, kepimpinan Malaysia mendapat pujian sebagai pemain peranan yang bertanggungjawab di pentas global dan rakan penting dalam usaha memerangi fahaman pelampau.

— BERNAMA

 

Tinggalkan komen anda