Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Manfaatkan Perayaan Krismas Kukuh Perpaduan – Tun Juhar

By 24 Disember 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Asmidar Zainol (Sabah)

 KOTA KINABALU, 23 Disember 2015 (Malaysiaktif) –?  Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin menggesa rakyat supaya bersatu, saling menghormati, memanfaatkan budaya serta perayaan kaum lain untuk mengukuhkan perpaduan kaum.

Dalam perutusannya sempena Perayaan Hari Krismas dan Tahun Baru 2016, Tun Juhar berkata sambutan Krismas dan hari kebesaran lain yang disambut pada setiap tahun memainkan peranan penting dalam memelihara toleransi beragama, keharmonian budaya, persefahaman dan perpaduan antara kaum.

“Perpaduan sedia ada harus dikekalkan dan diperkukuhkan lagi supaya dapat melahirkan masyarakat Malaysia yang maju dan mantap menurut acuannya sendiri.

Beliau menyeru rakyat Sabah supaya menerapkan sikap prihatin, bertolak ansur serta menjaga sensitiviti terhadap satu sama lain demi mengekalkan perpaduan dan kesejahteraan.

“Kepercayaan, hormat menghormati dan kejujuran merupakan ciri-ciri positif yang dapat membina dan memperkukuhkan semangat kekitaan agar dapat menikmati kehidupan yang harmoni dan sejahtera.

“Hilangnya perpaduan bermakna suasana muhibah yang kita kecapi sejak sekian lama akan hilang sekelip masa,” ujarnya di Istana Negeri hari ini.

Tun Juhar mengingatkan rakyat supaya tidak mempersendakan agama, adat dan tradisi yang berlainan di negeri ini bagi mengelak sebarang provokasi terhadap sensitiviti masyarakat.

“Jadikan perbezaan kaum ini kekuatan dan kelebihan untuk saling melengkapi dengan yang lain bagi membawa manfaat kepada perpaduan dan keharmonian kaum dan kestabilan negara.”

Dalam pada itu, Tun Juhar menasihati rakyat, terutama golongan muda supaya tidak menggunakan teknologi bagi tujuan negatif yang boleh menghancurkan kemakmuran masyarakat. Beliau turut mengingatkan mereka supaya tidak dipengaruhi agenda pengganasan.

Sempena perayaan Hari Krismas dan Tahun Baharu 2016, beliau mengingatkan orang ramai sentiasa berwaspada dan mematuhi peraturan jalan raya agar tiba ke destinasi masing-masing dengan selamat.

Tun Juhar turut merakamkan penghargaan kepada anggota pasukan keselamatan yang berjauhan dengan keluarga demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat dan negara walaupun pada musim perayaan.

 

Tinggalkan komen anda