Skip to main content
HomeViral

PAS Sedia Kerjasama Demi Rakyat, Berlandaskan Islam

By 14 Disember 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Faris Fuad (Putrajaya)

KUALA LUMPUR, 14 Dis (Malaysiaaktif) – Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyelar dakwaan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi kononnya terdapat dua individu yang menolak kerjasama Pas dengan Umno, iaitu dirinya dan juga Naib Presiden, Datuk Iskandar A. Samad.

Beliau menegaskan pihaknya tidak pernah menentang sebarang bentuk kerjasama baik, namun perlu dibuat selari dengan perintah Allah.

“Inilah prinsip Islam yang menjadi pegangan Pas dan bersedia bekerjasama dalam menentang kemungkaran pemerintah, rasuah, salah urus tadbir negara, kezaliman, penganiayaan, perjanjian yang tidak ditepati dan berat sebelah yang menyusahkan rakyat serta sistem federalisme yang tidak dilaksanakan.

“Atas dasar inilah Pas sanggup mengadakan kerjasama dengan mana-mana pihak, namun kerjasama ini bukanlah bermakna Pas harus korbankan dasar dan perjuangan demi mencapai kemenangan politik pilihan raya sahaja,” katanya menerusi catatan terbaru di akaun Facebooknya hari ini.

Tuan Ibrahim menjelaskan pihaknya gembira mendengar hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang ingin mentadbir negara berlandaskan syariat Islam.

Namun tegasnya, persetujuan antara dua parti tersebut tidak dikategorikan sebagai kerjasama politik rasmi parti terbabit.

“Datuk Seri Najib telah menyatakan hasrat bagi melaksanakan pemerintahan negara berlandaskan syarak dan ini tentunya khabar gembira kalau ianya benar-benar lahir dari keinginan yang bersungguh-sungguh Perdana Menteri.

“Sebagai parti yang sedang memerintah beliau mesti membuktikan hasrat tersebut serta laksanakanlah dalam ruang yang sedia ada dengan merintis perubahan kepada keadilan sosial dan ekonomi rakyat.

Dalam pada itu, beliau menegaskan sekali lagi pihaknya tidak mempunyai hasrat untuk bergabung dengan Umno, malahan akan terus mendesak kerajaan untuk mentadbir negara mengikut tuntutan Allah.

“Pas tidak mahu memikul pengkhianatan Umno kepada agama. Lebih 50 tahun negara ini tidak pernah merasai berjalannya hukum Allah secara menyeluruh, riba, rasuah, pusat maksiat berleluasa sehingga remaja seolah-olah tiada hala tuju.

“Pas juga tidak akan merelakan perpaduan bagi mendukung tindakan yang bertentangan dengan Islam seperti kesanggupan ‘ menghalalkan’ pelbagai penipuan, penyelewengan, rasuah dan perkara bertentangan dengan syarak demi mempertahankan kuasa satu-satu pemimpin.

“Oleh itu Pas akan meneruskan tugas dalam mendesak Umno menggugurkan dasar nasionalismenya dan menerima perjuangan Islam dan ini hanya boleh berlaku dengan Pas terus menjadi saingan kepada Umno,” tegasnya.

 

Tinggalkan komen anda