Skip to main content
EkonomiHomeViral

Prosedur Masuk Warga Asing Lebih Ketat Tahun Depan

By 7 Disember 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Faris Fuad (Putrajaya)

KUALA LUMPUR, 7 Dis (Malaysiaaktif) – Setiap majikan yang ingin menggunakan khidmat pekerja asing akan menghadapi peraturan dan prosedur yang lebih ketat bermula awal tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low menjelaskan penggunaan orang tengah akan dihapuskan bagi memastikan majikan lebih mengambil berat ke atas kebajikan pekerja.

Beliau berkata majikan perlu memastikan pekerja asing dibayar gaji mengikut bayaran minimum serta mendapat kemudahan mengikut prosedur yang dipersetujui.

“Ia adalah langkah yang diusahakan melibatkan kira-kira 14 agensi kerajaan dalam usaha untuk menyelesaikan masalah pekerja asing di negara ini.

“Kita telah pun mendapatkan konsensus dan diharapkan bermula Januari depan ia dapat dilaksanakan,” katanya ketika berucap dalam majlis sambutan Hari Hak Asasi Manusia di Hotel Renaissance hari ini.

Dalam pada itu Paul Low menegaskan langkah ini perlu bagi memastikan pihak majikan lebih bertanggungjawab kepada pekerjanya.

Jelasnya lagi, pelaksanaan itu penting bagi membendung insiden seperti pekerja melarikan diri, dimana majikan akan menyerahkan tanggungjawab kepada polis dan agensi lain untuk mencari.

“Kita akan mengenakan denda yang lebih tinggi dan sudah pasti ia akan dapat menjadikan para majikan tersebut lebih bertanggungjawab dan tidak mengatakan ia adalah tanggungjawab kerajaan,” tegasnya lagi.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan telah menggariskan tiga syarat yang lebih ketat dalam pengambilan pekerja asing ke negara ini bagi memastikan kehadiran mereka tidak mengancam kestabilan negara.

Tambahnya lagi, menerusi langkah tersebut majikan perlu bertanggungjawab terhadap pekerja mereka bermula daripada proses pengambilan sehingga penghantaran semula ke negara asal dan jika gagal mematuhi syarat tersebut boleh dikenakan denda atau hukuman mengikut kesalahan.

 

 

Tinggalkan komen anda