
Oleh Nur Hafif Zainurdin (Melaka)
DURIAN TUNGGAL, 15 Dis (Malaysiaaktif) — Banjir berikutan hujan sejak petang kelmarin memaksa sembilan keluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan Banjir Sekolah Kebangsaan Belimbing Dalam.
Pagi tadi empat keluarga dibenarkan pulang bagi memeriksa dan membersihkan kawasan rumah. Mereka, bagaimana pun tidak dibenarkan bermalam di rumah masing-masing.
Sementara itu, pemeriksaan kesihatan dilakukan oleh pihak berwajib ke atas semua mangsa, selain aktiviti kebiasaan bagi membantu mereka, termasuk memasak.
Malam tadi Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Durian Tunggal Datuk haji Abdul Wahab Abdul Latip menyerahkan bantuan sebanyak RM500 kepada setiap keluarga mangsa bagi pihak Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Idris Haron.
Kemudian, pada pukul 2.00 pagi tadi, Idris turut meluangkan masa bersama mangsa banjir di SK Belimbing Dalam.
Menurut salah seorang mangsa, Nasir Ismail, beliau menghargai keprihatinan kerajaan negeri dan agensi-agensi kerajaan dalam membantu mangsa banjir. Beliau yang sempat menyelamatkan kenderaannya juga memohon sumbangan barangan asas, seperti tuala dan ubat gigi dibekalkan oleh pihak berwajib.
Penghulu Durian Tunggal, Norhakim Hasan berkata beliau tidak pasti bila semua mangsa dibenarkan pulang ke rumah mereka memandangkan paras air yang masih tinggi, selain bahaya ancaman lain.