Skip to main content
GlobalHomeViral

Malaysia Tidak Terlibat 34 Negara Perangi Keganasan

By 15 Disember 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Faris Fuad

KUALA LUMPUR, 15 Dis (Malaysiaaktif) –  Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memaklumkan Malaysia tidak akan menyertai pasukan tentera yang terdiri dari 34 negara Islam bagi menentang ancaman keganasan.

Beliau berkata usaha yang diumumkan oleh kerajaan Arab Saudi  itu adalah satu komitmen dan keputusan yang tepat.

Jelasnya walaupun Malaysia tidak terlibat dalam pasukan itu namun pihaknya akan bergerak secara berasingan bagi menghapuskan amalan keganasan tersebut.

“Inisiatif yang dibuat Arab Saudi kali ini tidak ada komitmen ketenteraan tetapi persefahaman bahawa kita bersama memerangi keganasan ini adalah pendirian yang tepat.

“Saya menerima panggilan dari Menteri Pertahanan Arab Saudi dua hari lalu dan memaklumkan pendirian kita adalah sama dengan 10 negara Asean yang lain dalam memerangi keganasan,” katanya selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Inovasi di Wisma Pertahanan hari ini.

Menteri Pertahanan itu turut bersetuju dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi memperkenalkan mahkamah khas bagi membicarakan kes yang melibatkan individu yang menyertai kumpulan militan atau pengganas.

Menurutnya, ia adalah penting bagi memastikan individu terbabit tidak terlepas daripada hukuman atau tindakan undang-undang.

“Saya setuju jika diperlukan untuk bicara sebelah malam kerana ancaman pengganas ini adalah benar.

“Perkara ini sudah dibincangkan secara prinsip di peringkat Majlis Keselamatan Negara dan untuk tindakan Ketua Hakim Negara,” katanya lagi.

Sebelum ini, Arab Saudi mengumumkan pembentukan pakatan ketenteraan 34 negara Islam untuk memerangi ancaman IS.

Agensi berita Reuters juga hari ini memetik negara itu menyebut Malaysia sebagai salah satu negara yang telah bersetuju mengenai pembentukan perikatan tentera yang diketuai oleh Arab Saudi untuk memerangi keganasan, dengan pusat operasi bersama berpusat di Riyadh untuk menyelaras dan menyokong operasi ketenteraan.

Negara-negara lain yang turut telibat termasuk seperti Mesir, Qatar, Emiriyah Arab Bersatu, Turki, , Pakistan dan Teluk Arab dan lain-lain lagi.

 

Tinggalkan komen anda