Skip to main content
Berita TempatanSabah

Ziarah Kasih Yayasan Nur Jauhar (Ynj) Penuhi Impian Saiful

By 31 Disember 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Warman Wagiman & Volintine S.Jiloh (Sabah)

KOTA KINABALU, 31 Dis (Malaysiaktif) –?  Tiada apa yang lebih bermakna dan menggembirakan selain dapat memenuhi impian insan tersayang. Justeru itu Yayasan Nur Jauhar (YNJ) menerusi program Ziarah Kasih berjaya memenuhi impian adik Saiful Ali, 11, yang menghidap kanser otak.

Apa yang lebih bermakna impiannya dipenuhi oleh isteri Yang Di Pertua Negeri Sabah Toh Puan Norlidah R.M Jasni.

Melalui jalan berbukit perkampungan Shantung Luyang bukan penghalang untuk Norlidah menghadiahkan alat permainan ‘Transformer’ untuk Saiful sebagai memenuhi permintaannya.

YNJ juga menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan harian untuk keluarga Saiful.

Ayahnya, Ali Abdullah, 42, menzahirkan ucapan syukur dan penghargaan di atas semua sumbangan tersebut.

Saiful turut menerima sumbangan daripada Baitulmal Negeri Sabah menerusi Syukbah Wanita Masjid Bandaraya Kota Kinabalu.

Selain itu, Norlidah juga menyampaikan sumbangan kepada Pusat Sister Seluruh Malaysia, untuk diagih-agihkan kepada rumah anak yatim dan asrama di seluruh negeri ini,  di bawah kendalian Loreta Convent (Generalate) pagi tadi.

Sementara itu, YNJ turut menyampaikan sumbangan kepada beberapa keluarga yang memerlukan di sekitar Kampung Likas dan Kampung Salut.

Menurut Pengerusi YNJ, Haji Al Hambra Tun Juhar, sebanyak enam program Ziarah Kasih dilaksanakan sepanjang tahun ini, melibatkan 900 individu dan badan kebajikan.

“ YNJ memberikan sumbangan kepada yang memerlukan tanpa mengira suku kaum dan agama serta sentiasa memberi perhatian kepada usaha membantu golongan yang memerlukan menerusi program seumpama ini yang turut diadakan di beberapa daerah di seluruh negeri ini, tambahnya.

 

Tinggalkan komen anda