Skip to main content
HomeViral

Azalina Sekali Lagi Tolak Dakwaan Kerajaan Beli Alat Perisian

By 1 Januari 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Faris Fuad

KUALA LUMPUR, 1 Jan (Malaysiaaktif) – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said sekali lagi menolak sebarang dakwaan berkaitan pembelian perisian pengintipan berikutan pendedahan terbaru seorang blogger teknologi yang menuduh kerajaan membeli alat tersebut daripada firma IT dari Itali, Hacking Team.

Beliau menyifatkan ia sebagai tuduhan yang tidak berasas dan pihaknya telah pun memberi penjelasan dalam parlimen sebelum ini.

“Saya memberikan jawapan secara bertulis kepada pertanyaan tersebut dengan menjelaskan tidak ada perolehan peralatan seperti yang dinyatakan dibuat oleh pejabat perdana menteri.

“Justeru, sekali lagi saya menegaskan tidak ada sebarang perolehan sebegitu yang dilakukan oleh pejabat perdana menteri,” katanya dalam satu kenyataan.

Azalina berkata penjelasan lanjut perlu dibuat agensi terlibat memandangkan ia berada di luar bidang kuasanya.

“Saya juga ingin menjelaskan di sini berkaitan dengan dakwaan terdapat agensi Kerajaan lain memperolehi perisian sedemikian.

“Maka adalah wajar untuk mendapatkan penjelasan daripada agensi yang berkaitan, sekiranya ada, di mana tidak wajar untuk saya memberikan ulasan bagi pihak agensi lain yang berada di luar bidangkuasa saya,” katanya.

Sebelum ini, Azalina dalam jawapan di Dewan Rakyat pada November lalu menafikan pembelian perisian tersebut dengan berkata, “tiada pembelian seperti itu”.

“Pembelian seperti itu tidak pernah dibuat Jabatan Perdana Menteri,” katanya.

Semalam, blogger Keith Rozario, pemilik laman web keithrozario.com mengeluarkan bukti resit pembelian antara syarikat berpengkalan di Shah Alam, Miliserv Technologies (M) Sdn Bhd dengan Hacking Team pada September 2013 dan Julai 2014.

Pembayaran Miliserv dibuat kepada firma berpengkalan Milan itu berjumlah £38,500 (RM170,270) dan £210,000 (RM899,157).

 

Tinggalkan komen anda