Skip to main content
Berita TempatanHomeViral

Kementerian Pendidikan Cadang Ubah Format UPSR Seperti PT3

By 12 Januari 2016Tiada komen2 minit bacaan

Oleh : Faris Fuad  PUTRAJAYA, 12 Jan (Malaysiaaktif) –Kementerian Pendidikan melahirkan hasrat untuk mengubah format Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kepada 40 peratus Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan 60 peratus peperiksaan seperti yang dibuat dalam Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid memaklumkan pihaknya akan bertemu dengan pihak tertentu bagi mendapatkan cadangan dan pandangan mereka berkaitan cadangan itu.

“Sebenarnya, cadangan ini kita hampir laksanakan tetapi ditangguhkan. Jadi, boleh cuba kemukakan semula.

“Dalam setahun ini, kementerian akan berjumpa semua pihak terlibat. Jika mereka setuju, ia akan dilaksanakan,” katanya ketika ditemui media selepas menyampaikan perutusan tahun baharu 2016 kementerian, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Dalam pada itu, beliau berharap Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang mula dilaksanakan pada tahun 2016 hingga 2020 dapat menentukan kejayaan sistem pendidikan negara

Jelasnya, perancangan itu bukan sahaja menekakan aspek akademik malahan aspek psikometrik, kokurikulum dan pembinaan modal insan juga turut diutamakan.

“Jika suatu hari nanti kombinasi dalam PBS menjadi lebih berkesan, itulah pelajar yang kita kehendaki untuk masa depan bukan sahaja berasaskan akademik semata-mata,” kata Mahdzir.

Menurutnya, suasana pembelajaran juga perlu diberi tumpuan bagi mengekalkan keharmonian dalam sistem perguruan di sekolah.

Tambahnya, komunikasi dua hala perlu dipertingkatkan antara kementerian dan semua peringkat kepimpinan sekolah bagi memastikan sistem pendidikan dapat bergerak ke depan.

“Jika ada idea yang lebih baik, beritahulah kepada kementerian, saya boleh terima. Tak perlu tunggu sahaja arahan atau pekeliling dari kementerian.

“Menteri dan semua peringkat tertinggi kementerian ini, kami berkhidmat untuk pihak sekolah. Kementerian bekerja untuk menentukan kejayaan sekolah,” katanya lagi.

Tinggalkan komen anda